PELATIH kuda, (dari kiri) Adnan, Zubir dan Mohd Fazli menunjukkan jemputan perkahwinan Tunku Tun Aminah dan Dennis Muhammad pada 14 Ogos nanti. IHSAN Pejabat Media Diraja
Rudy Fazrunisyam Samarudin


TUNKU Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim menjemput kakitangan istana yang dianggap istimewa untuk menyerikan majlis perkahwinannya.

TUNKU Tun Aminah bakal melangsungkan perkahwinan dengan jejaka warga Belanda, Dennis Muhammad Abdullah, pada 14 Ogos ini.

Bagi menyerikan majlis, Tunku Aminah menjemput pelatih kuda yang mengajarnya cara menunggang kuda dan pemandu yang membawanya ke sekolah.

Selain itu, puteri Sultan dan Permaisuri Johor itu turut menjemput anggota Askar Timbalan Setia Negeri (ATSN) serta pengawal peribadi yang melindungi Keluarga Diraja.

Antara penerima undangan diraja adalah pelatih kuda dan pemain Kelab Polo Kelab Diraja Johor, Adnan Othman, 45, dan dua rakannya, Zubir Selamat, 35, dan Mohd Fazli Selamat, 37.


TUNKU Tun Aminah Maimunah Iskandariah Binti Sultan Ibrahim mula menunjukkan kemahiran menunggang kuda diusia yang kecil. IHSAN Pejabat Media Diraja

"Saya membesar bersama orang-orang ini dan mereka sangat istimewa buat saya. Saya mahu mereka semua berada di hari perkahwinan untuk berkongsi kebahagiaan saya," katanya.

Melalui kenyataan media Pejabat Media Diraja, hari ini, Tunku Tun Aminah, Tunku Tun Aminah membesar dengan lima adik-beradik lelaki di Istana Pasir Pelangi.

"Pemandu dan pengawal peribadi yang menghantar saya akan sering mengingatkan bahawa saya adalah satu-satunya puteri Tuanku Sultan dan menasihatkan saya untuk menjadi seorang yang baik.

"Setiap petang selepas sekolah, saya bersama adik-beradik saya akan pergi bermain dengan pelatih-pelatih kuda dan menjamu selera di warung yang disediakan untuk mereka.

“Saya juga akan menjemput kakitangan istana lain yang menjaga kami.

“Mereka adalah sebahagian daripada zaman kanak-kanak saya yang mengajar nilai-nilai untuk berkhidmat dengan berdedikasi, kesetiaan dan kebaikan," kata Tunku Aminah.

Sebagai hadiah sempena perkahwinan itu, kakitangan yang sudah lama berkhidmat akan menerima cenderahati khas yang direka sendiri oleh Tunku Aminah.

Berita berkaitan perkahwinan diraja

Bagai pinang dibelah dua

Sultan Johor puas hati

Istiadat perkahwinan penuh tradisi dan warisan Johor

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2017 @ 1:16 PM