Che Arisya Qistina Che Afandi (kanan) ditemani ibu tirinya, Nor Syuhada Hanafi, 23, (kiri) menanti usaha mencari bapanya, Che Afandi Che Ismail, 34, (gambar kecil) yang masih hilang. - Foto ROSLI ILHAM
BERNAMA

“SAYA tidak akan pulang, tunggu sampai abah ditemui," kata anak mangsa tragedi bot karam di muara sungai Kuala Dungun, Dungun.

Che Arisya Qistina, 11, anak Che Mohd Afendi Che Ismail, 34, berkata dia tidak akan berganjak dari pantai untuk mengikuti perkembangan pencarian bapanya.

Katanya, kali terakhir mereka berjumpa lebih sebulan lalu, dan bapanya sempat berpesan supaya menjaga diri dan sentiasa menghubunginya.

Bagaimanapun, pelajar tahun lima Sekolah Kebangsaan Che Latiff, Kelantan, itu tidak dapat menghubungi bapanya kerana tiada telefon.

"Saya hanya jumpa abah sekiranya pulang ke kampung di Besut. Walaupun kurang bersua, namun kami rapat selepas emak dan abah bercerai.

“Kalau abah tak jumpa, saya tak akan balik, kalau abah jumpa baru saya balik, harap-harap boleh jumpa abah.

“Saya sudah beritahu cikgu tidak dapat ke sekolah nak tunggu abah sampai jumpa," katanya.

Rabu lalu, empat nelayan dikhuatiri lemas selepas bot gentian kaca yang dinaiki mereka ke Jeti Kuala Dungun terbalik dipukul ombak dalam kejadian kira-kira 10 malam.

Mangsa yang masih hilang ialah Che Mohd Afendi Che Ismail, 34, Mohamad Zawawi Mohamed, 27, dan Abdul Wahab Zakaria, 44.

Seorang lagi mangsa Mohd Shahrin Yaccob, 33, berjaya menyelamatkan diri selepas tiga jam berenang ke daratan manakala mayat abangnya Mohd Nazri Yaccob, 37, ditemui kira-kira 8.50 pagi Jumaat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2017 @ 9:12 PM