Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


PELAKON Afifah Nasir yang dituduh sebagai orang ketiga dalam kontroversi rumah tangga pelakon Aliff Aziz dan Bella Astillah baru-baru ini, mendakwa menjadi ‘kambing hitam’ produksi penggambaran drama lakonannya dengan Aliff.

Afifah dalam sidang media di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur hari ini, berkata, pihak produksi terbabit memintanya berbuat baik dan memujuk Aliff supaya dia dapat memberi kerjasama selepas dikatakan tidak berdisiplin sepanjang sesi penggambaran drama Izinkan Aku Mencintaimu itu.

"Saya menjadi mangsa keadaan dan dianiaya. Semua yang berlaku adalah perancangan pihak produksi yang mahu saya memudahkan kerja mereka.

"Pada mulanya pihak produksi mencadangkan kami tinggal di homestay bagi memudahkan proses penggambaran tetapi saya menolak kerana mahu pulang ke rumah.

"Disebabkan itu, mereka meminta saya terus berbuat baik dan melayan Aliff supaya dia tidak buat hal. Malangnya ini yang berlaku,” katanya.

Menurut adik kepada pelakon popular Anzalna Nasir itu, dia sangat terkilan apabila terpaksa menjadi 'kambing hitam' pihak produksi terbabit sehingga namanya dikecam masyarakat dan dituduh perosak rumah tangga.

"Saya rasa bodoh sangat sebab dengar cakap orang. Sepatutnya saya tidak ikut kemahuan mereka tetapi saya kasihan melihat penggambaran ini yang sering tertangguh.

"Saya juga ada bertengkar dengan Aliff berikutan masalah yang ditimbulkannya. Malah, saya juga pernah bemasam muka dengan Aliff kerana sikapnya itu yang menyusahkan seluruh kru produksi," katanya.

Afifah turut kesal apabila pihak produksi terbabit enggan tampil memberi penjelasan sebenar.

"Masing-masing lepas tangan apabila diminta untuk menjelaskan perkara sebenar. Akhirnya saya yang tersepit dan dipersalahkan sebagai punca semua masalah yang berlaku.

"Saya mengadakan sidang media ini bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak, tetapi mahu menjernihkan keadaan,” katanya.

Dalam pada itu, Afifah turut menafikan dia menjalin hubungan cinta dengan Aliff seperti didakwa Bella.

"Saya akui bersalah kerana membenarkan Aliff memegang tangan saya. Saya memohon maaf atas apa yang berlaku. Saya akan lebih berhati-hati selepas ini,"katanya.

Afifah berkata, jika pihak Aliff masih tidak berpuas hati dengan penjelasannya, dia tidak ada masalah untuk mengemukakan bukti lain.

Dalam sidang media yang sama, Afifah turut memperdengarkan rakaman perbualan membabitkan Anzalna dengan seorang kru produksi mengenai keadaan sebenarnya.

Menerusi rakaman itu, kru terbabit mengakui mereka merancang untuk menggunakan Afifah bagi memujuk Aliff yang dikatakan tidak berdisiplin.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif Mahligai Seri Emas yang hanya dikenali Cik Li enggan memberikan sebarang kenyataan berhubung dakwaan Afifah.

"Buat masa sekarang saya tidak mahu komen lanjut. Pihak produksi akan mengadakan sidang media dalam waktu terdekat,"katanya.

Kontroversi bermula apabila Afifah keluar berdua dengan Aliff di pusat karaoke di Cheras pada 27 Julai lalu sehingga mencetuskan pergelutan antara Aliff dan Bella.

Sepanjang tempoh dua minggu, Afifah mendiamkan diri tanpa memberikan sebarang kenyataan berhubung isu terbabit.

Sementara di pihak Aliff dan Bella, mereka tampil memberi penjelasan pada sidang media yang diadakan minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2017 @ 3:44 PM