SENTIASA saling menyokong, keyakinan antara faktor kekal bertahan. Dari kiri, Taeyong, Yuri, Sooyoung dan Tiffany.
SENTIASA saling menyokong, keyakinan antara faktor kekal bertahan. Dari kiri, Taeyong, Yuri, Sooyoung dan Tiffany.
Georgie Joseph

Genap sedekad Girls’ Generation bertapak dalam industri hiburan Korea Selatan. Populariti kumpulan wanita ini sukar digugat meskipun ramai bakat baru berjaya bertakhta di hati peminat.

Untuk rekod, Girls’ Generation yang dianggotai Taeyeon, Seohyun, Yoona, Sunny, Hyoyeon, Yuri, Tiffany dan Sooyoung satu-satunya kumpulan wanita paling lama bertahan dalam sejarah hiburan negara itu.

Pencapaian mereka sentiasa menjadi bualan hangat sehinggakan ramai tertanya-tanya apakah resipi kejayaan kumpuan ini.

Tiffany mengakui sangat bangga menjadi sebahagian daripada Girls’ Generation malah tidak dapat membayangkan apa akan berlaku kepada kariernya jika tidak bergerak secara berkumpulan.

“Ia bukan proses mudah kerana kami perlu banyak berkorban, mendedikasikan seluruh kehidupan kepada karier dan menggalas tanggungjawab sangat besar.

“Bagaimanapun, cinta yang membuatkan kami dapat bertahan sehingga ke hari ini. Kami sudah terlalu lama bersama dan saling menyokong. Itulah yang bawa kami sampai ke tahap ini,” katanya.

Kembara seni Girls’ Generation terukir indah. Sejak ditubuhkan pada 2007, kumpulan ini jarang terpalit kontroversi atau gosip kurang enak.

Ia sekali gus membuatkan Tiffany bersyukur dengan segala memori indah itu.

“Tidak terhitung banyaknya memori indah yang kami peroleh. Peminat pemangkin semangat kami untuk terus menikmati kerjaya ini dan mempelajari pelbagai benda baru.

“Jika diminta memilih, saat yang paling menggembirakan adalah ketika mula diperkenalkan pada 2007. Selain itu, sudah tentu ulang tahun kami yang ke-10,” katanya.

Berkongsi rahsia kekal bertahan dalam industri, Sunny berkata setiap perjuangan perlu disertakan dengan kepercayaan dan keyakinan diri yang tinggi.

“Kita kena percaya dengan kemampuan diri. Ada masanya kehidupan rasa sukar dan akan timbul perbagai persoalan dalam diri termasuk adakah kita sudah buat yang terbaik?

“Masa depan kita terasa kabur. Apabila itu berlaku, kita kena yakin dan percaya dengan kemampuan diri.

“Seperkara lagi, apabila bergerak secara berkumpulan, kita tidak boleh pentingkan diri sendiri. Dalam apa keadaan sekali pun kena lakukan bersama-sama selain perlu menetapkan hala tuju,” katanya.

Album keenam lebih jujur

Berbicara mengenai muzik, Girls’ Generation tidak pernah menghampakan. Konsep yang ditampilkan sentiasa menarik dan unik.

Daripada rentak rancak hinggalah perlahan, semuanya berjaya dilunaskan dengan cemerlang.

Bagaimanapun, menurut Tiffany ada beberapa album dan lagu yang menjadi pilihan peribadi mereka.

“Saya suka lagu Gee dan Genie yang diterbitkan pada 2009. Kedua-duanya berjaya menampilkan imej ikonik kami. Begitu juga album TTS yang melekat kuat di hati peminat seluruh dunia.

“Untuk projek ini, saya terbabit secara langsung ketika pembikinannya. Saya sangat bangga dengan visual dan muziknya yang mantap,” katanya.

Tampil dengan album keenam berjudul Holiday Night, Girls’ Generation mahu menyerlahkan identiti dan gaya sebenar muzik mereka.

“Sewaktu proses pemilihan lagu, kami memutuskan untuk tidak meneroka konsep baru. Kami mahu mengembalikan muzik yang mudah dinikmati peminat serta menarik untuk persembahan.

“Ia lebih menekankan kepuasan peminat dan disebabkan itulah saya berasakan album ini sangat bermakna selain sarat dengan mesej penting. Semuanya berkisar rasa syukur kami terhadap sokongan padu yang diberikan peminat selama ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2017 @ 2:25 AM