X
AFP

Montreal: Rafael Nadal berkata, dia hanya akan menumpukan perhatian kepada setiap lawannya di ATP Montreal Masters minggu ini dan bukannya memikirkan peluang untuk kembali bergelar pemain nombor satu dunia.

Jika layak ke separuh akhir di Montreal, bintang Sepanyol itu akan dapat memintas Andy Murray (gambar) di kedudukan teratas ranking dunia.

“Saya tidak memikirkan soal itu sekarang,” kata Nadal mengenai kedudukan selaku pemain utama dunia. “Saya sedang cuba mempersiapkan diri dan itu saja.

“Saya sedang cuba bermain seperti yang saya persembahkan pada bahagian pertama musim ini. Justeru, jika saya mampu mengulanginya, saya pasti akan dapat bermain lebih baik.”

Pilihan utama itu dijangka memulakan kempen memburu gelaran keempat di Kanada dengan menentang sama ada Borna Coric atau Mikhail Youzhny di pusingan kedua.

Jika menang, Nadal akan ke pusingan ketiga dan menentang Juan Martin del Potro yang mengalahkan John Isner 7-5, 7-5, kelmarin.

Murray tidak bermain di kejohanan pemanas badan sebelum Terbuka AS itu manakala Novak Djokovic sedang berehat bagi memulihkan kecederaan siku sambil juara Terbuka AS Stan Wawrinka menamatkan kempen 2017 dengan kecederaan lutut.

Murray sedang bergelut dengan masalah pinggul dan berharap dapat kembali beraksi di acara Grand Slam terakhir musim ini yang akan bermula hujung bulan ini di Flushing Meadows.

Nadal menjulang gelaran Terbuka Perancis buat kali ke-10 tahun ini tetapi tersingkir di pusingan keempat di Wimbledon – kekalahan kelimanya di sebelum aksi suku akhir sepanjang lima penampilan di Kelab All England.

Roger Federer yang muncul juara Wimbledon sekali gus menjadi gelaran Grand Slam ke-19 peribadinya akan turut beraksi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2017 @ 3:36 AM