Mazizul Dani


SELEPAS mengungguli suku pertama 2017, laman web Harian Metro (HM) terus mengungguli portal berita di Malaysia untuk suku kedua 2017 dalam kategori berita dan maklumat berdasarkan statistik terbaru dikeluarkan firma pengukur dunia digital ComScore Inc.

Berdasarkan laporan itu, laman berita HM yang boleh dilayari menerusi www.hmetro.com.my mencatat 12.23 juta pelayar unik (UV) dari April hingga Jun, iaitu 4.16 juta UV pada April, 4.12 juta UV (Mei) dan 3.94 juta UV (Jun).

Pada April, laman yang lebih dikenali sebagai myMetro itu mengatasi pesaingnya dengan beza 362,000 UV, mengungguli dengan kelebihan 585,000 UV pada Mei, diikuti kelebihan 756,000 UV pada Jun mengatasi pesaingnya.

Statistik berkenaan merangkumi pelayar yang mengunjungi laman web menggunakan komputer, telefon pintar atau tablet.

Pada suku pertama 2017, laman web HM mencatatkan 9.88 juta UV sepanjang Januari hingga Mac dan mengatasi pesaingnya dengan kelebihan 421,000 UV.

Bagi segmen video HM, MetroTV yang kini mempunyai lebih 104,000 langganan pengguna di YouTube mencatat lebih 130.6 juta tontotan setakat semalam.

Di laman sosial, Facebook (FB) myMetro kini mencatatkan lebih 4.3 juta ‘likes’ manakala Twitter rasmi HM kini diikuti lebih 776,000 pengguna.

HM turut mempunyai akaun Twitter lain mengikut kawasan iaitu @hmutara bagi berita di Perlis, Pulau Pinang dan Perak, @hmtengah (Lembah Klang, Melaka dan Negeri Sembilan), @hmtimur (Kelantan, Terengganu dan Pahang), @hmjohor (Johor), @hmsarawak (Sarawak) dan @metrosabah (Sabah).

Sementara itu, tiga lagi akaun Twitter yang fokus kepada berita dunia, sukan dan teknologi iaitu @GlobalHM, @ArenaHM dan @TekLabHM turut mencatatkan peningkatan pengikut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2017 @ 11:34 PM