AZIZ memperkatakan sesuatu kepada barisan pelakon.
ELIZAD tidak sukar cipta keserasian dengan Aaron.
HM Digital

Selepas mencipta nama menerusi drama bersiri seperti Teman Lelaki Upahan, Si Kolot Suamiku dan Papa Ricky, pelakon popular Siti Elizad kembali dengan drama terbarunya berjudul My Darling Inspektor Daniel.

Dalam drama bersiri 16 episod arahan Aziz M Osman itu, Elizad bergandingan dengan Aaron Aziz, Elizabeth Tan, Erra Fazira, Shahir, Zarul Umbrella dan Dazrin Kamarudin.

Bagi pemilik nama sebenar, Siti Elizad Mohd Sharifuddin, 33, ini, watak Inspektor Hannah dalam drama terbitan Skop Productions itu bagaikan peluang keemasan buatnya.

“Watak sebagai anggota polis memang diimpikan sejak berkecimpung dalam bidang lakonan. Watak Inspektor Hannah juga menarik kerana dia tomboi, lasak dan suka menunggang motosikal.

“Sebagai pelakon, saya perlu menjiwai pelbagai watak dan tidak terikat dengan sesuatu watak saja dalam misi menjadi pelakon serba boleh,” katanya.

Elizad mengakui dia memperoleh pengalaman berharga sepanjang penggambaran drama itu sebelum ini.

“Sebaik saja menyarung pakaian seragam, saya perlu menjaga etika sebagai anggota polis dan fokus pada watak.

“Pada mulanya, saya kekok untuk mengendalikan pistol tetapi ia berjaya diatasi dengan bimbingan pengarah dan kru di lokasi penggambaran,” katanya.

Bercerita dari segi cabaran pula, Elizad berkata, penggambaran dilakukan pada Ramadan.

“Selain penggambaran di tengah panas, ia membabitkan banyak babak menunggang motosikal polis.

“Saya memang peminat motosikal berkuasa tinggi dan ia juga satu tarikan dalam cerita ini,” katanya.

Mengenai gandingan dengan Aaron pula, Elizad berkata, dia tidak ada masalah mendapatkan keserasian.

“Saya sering digandingkan dengan hero yang mudah untuk bekerjasama dan Aaron juga seorang yang suka menceriakan suasana ketika penggambaran.

“Begitu juga Erra, dia pelakon senior yang sangat merendah diri dan tidak lokek ilmu di lokasi. Sebagai orang baru, Elizabeth juga berbakat dalam bidang lakonan. Drama ini lebih santai dan sajian hiburan untuk seisi keluarga,” katanya.

Drama bersiri ini bersiaran setiap Isnin hingga Khamis jam 10 malam di saluran Astro Ria & Ria HD bermula 31 Julai lalu.

Bakal muncul dengan single baru

Selain berlakon, Elizad juga mengembangkan cabang seni dengan menceburi bidang nyanyian.

Malah, single pertamanya Hai Yaya juga mendapat sambutan daripada peminat dan terpilih menjadi lagu tema drama bersiri Encik Suami Mat Salleh Celup.

“Saya bersyukur lagu itu diterima peminat. Insya-Allah, saya dalam perancangan untuk muncul debgan single baru pula.

“Kalau boleh saya mahukan genre lagu yang lebih santai dan akustik selepas ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Elizad kini terbabit dengan penggambaran program Into Jannah (slot suami isteri) selama tujuh hari di Canberra, Australia untuk saluran Astro Oasis.

Elizad juga ditemani suaminya, Shamsul Baharin sepanjang di luar negara.

Menyusul selepas itu, dia akan ke lokasi penggambaran drama bersiri sebanyak 70 episod, Syurga Yang Kedua bergandingan dengan Erra Fazira untuk saluran Astro Prima.-Ramlah Zainal

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2017 @ 2:59 AM