LEBIH dua ribu orang hadir di upacara pengkebumian Allahyarham Datuk Raja Rosly Raja Mazlan atau Pak Engku, di Makam Diraja, Shah Alam, hari ini.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin turut mencemar duli menghadiri upacara pengkebumian selebriti cef terkenal itu.
Jenazah Allahyarham Pak Engku, 58, terlebih dahulu dimandikan dan disolatkan di Masjid Shah Alam.

Jenazah kemudian dibawa ke tapak perkuburan, pada kira-kira 10 pagi.
Isteri arwah, Datin Ramziah Samah, 47, anak-anak dan anak saudaranya, Tengku Raja Azura menyaksikan upacara pengebumian bersama sanak-saudara, kenalan dan teman artis seperti Halil Chik, Aida Khalida dan Mak Jah.
Allahyarham yang pernah merakamkan dua album, meninggal dunia kerana kencing manis dan komplikasi buah pinggang di Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), pada 9.10 malam tadi.

Pak Engku mengalami masalah kesihatan sejak sebulan lalu dan pernah dimasukkan ke hospital swasta di Klang.
Allahyarham dimasukkan ke DEMC dua hari lalu dan keadaannya kritikal pada kira-kira 7 malam tadi.
Berita berkaitan