KERATAN imej laporan portal Harian Metro, semalam. FAIL Haian Metro
Mohd Ruzaini Zulkepli
hmkk@hmetro.com.my


POLIS sudah kenal pasti tiga pelajar di Kolombong, dekat Kota Kinabalu, dipercayai terbabit dalam pergaduhan yang video mengenainya tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata ia selepas guru sekolah itu membuat laporan berhubung video itu, pada 9.45 malam semalam.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai berlaku di padang taman perumahan di Kota Kinabalu, pada 9 Ogos lalu.

"Pergaduhan membabitkan dua kumpulan pelajar dari sekolah yang sama. Pada awalnya hanya dua pelajar bergaduh sebelum rakan mereka yang lain masuk campur.

"Ini bukan kali pertama ia berlaku. Ia rentetan daripada pergaduhan pada hari sebelumnya di tempat yang sama.

"Namun, pergaduhan pertama tidak tular. Punca pergaduhan adalah dipercayai kerana beradu kekuatan diri masing-masing," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, sekolah memberi kerjasama penuh dalam siasatan kes berkenaan.

"Kita masih menjalankan siasatan lanjut kes ini mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh," katanya.

Berita berkaitan

Jabatan pendidikan siasat video gaduh

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2017 @ 8:54 PM