BOLT berpusing sebelum terduduk ketika pertandingan.
AFP

KARIER gemilang Usain Bolt berakhir dengan kekecewaan apabila dia mengalami kekejangan otot sebagai pelari terakhir acara 4x100m yang dimenangi Britain pada Kejohanan Olahraga Dunia, awal pagi tadi.

Bolt menerima baton ketika Jamaica berada di kedudukan ketiga, namun bagi 50m terakhir pelari pecut tinggi lampai itu tiba-tiba memegang paha kirinya seterusnya berpusing secara somersault sekali gus mengejutkan 60,000 penonton di Stadium London.


BOLT (tengah) alami kekejangan otot di hamstring kiri.

Kuartet Britain, Chijindu Ujah, Adam Gemili, Daniel Talbot dan Nethaneel Mitchell-Blake meraih pingat emas dengan masa 37.47 saat manakala Amerika Syarikat yang diketuai Justin Gatlin sekadar memenangi perak 0.05 saat di belakang dan Jepun melakar kejutan apabila merangkul gangsa (38.04).

Doktor pasukan Jamaica, Dr Kevin Jones berkata, Bolt mengalami “kekejangan otot di hamstring kirinya.”

“Namun lebih banyak kekecewaan kerana kalah perlumbaan itu,” ujar Jones.

“Tiga minggu terakhir sukar buatnya. Kami mendoakan yang terbaik untuknya.”

Pelari kedua Jamaica, Julian Forte berkata: “Dia tidak memberitahu kami apa sebenarnya yang berlaku tapi daripada apa yang saya lihat, ia kelihatan seperti kejang otot atau seumpamanya.

“Dia asyik memohon maaf kepada kami tapi kami memberitahunya supaya tidak perlu meminta maaf - kecederaan sebahagian daripada sukan.”

Bolt terlepas peluang dalam usahanya mengekalkan kejuaraan 100m awal minggu ini, tewas kepada Gatlin dan pemenang pingat perak Christian Coleman, yang menjadi pelari terakhir AS awal pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 10:05 AM