Anggota polis menunjukkan senapang yang dirampas. FOTO ihsan polis
Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my


LELAKI Orang Asli berusia 23 tahun putus tangan kiri ditembak adiknya selepas dikatakan menjalin hubungan sulit dengan isteri adiknya itu.

Dalam kejadian 11 pagi di Kampung Berengoi, Bukit Ibam, Muadzam Shah, Rompin, Isnin lalu, mangsa ditembak dengan senapang buatan sendiri oleh adiknya berusia 19 tahun.

Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Azli Mohd Noor berkata, mangsa yang cedera masih mendapatkan rawatan di Hospital Muadzam Shah, di sini.

"Adik kandung mangsa sudah ditahan selepas menyerah diri pada Khamis lalu dan polis merampas selaras senapang buatan sendiri dan senapang patah yang ditemui di pondok di belakang rumahnya," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, hasil siasatan mendapati suspek menembak abangnya selepas mendakwa mangsa menjalinkan hubungan sulit dengan isterinya yang berusia 19 tahun.

Beliau berkata, polis masih meneruskan siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 5:27 PM