FAZIL menunjukkan bilik tidur anak perempuannya. (Gambar kecil) Faralysa yang hilang disyaki dilarikan penceroboh. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


KANAK-kanak perempuan berusia sembilan tahun hilang dipercayai dilarikan penceroboh yang memecah masuk rumah keluarganya di Kuarters Politeknik Port Dickson, awal pagi hari ini.

Kehilangan Faralysa Amani hanya disedari bapanya, Fazil Abdullah, 35, yang masuk ke bilik anaknya itu untuk mengejutkan dia dan seorang lagi anak lelaki berusia enam tahun pada 6.45 pagi.

Fazil berkata, tiga jam sebelum itu, dia masuk ke bilik sama untuk mengambil pengecas mudah alih atau 'powerbank' dan melihat kedua-dua anaknya itu sedang tidur.

"Saya terkejut apabila mendapati Faralysa tiada di bilik ketika mahu mengejutnya ke sekolah. Saya sangka dia sudah bangun dan apabila memeriksa seluruh rumah tidak menemuinya.

"Saya mendapati tingkap dan pintu belakang rumah terbuka, malah wang tunai di dalam dompet saya juga hilang. Saya mengesyaki rumah saya dipecah masuk dan Faralysa dilarikan," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Fazil berkata, dia dan isteri, Nur Asyikeen Ramli, 33, mencari anak sulung mereka di kawasan sekitar tetapi tidak menemuinya lalu membuat laporan di Balai Polis Teluk Kemang.

Dia meminta orang ramai yang menjumpai atau mempunyai maklumat mengenai anaknya itu supaya menghubunginya di talian 017-2138801.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Port Dickson Deputi Superintendan Rugiman Agus berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian itu.

Beliau berkata, setakat ini, polis belum dapat menentukan sama ada mangsa diculik atau tidak dan sedang menunggu perkembangan siasatan lengkap oleh Unit Forensik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 3:28 PM