Iskandar Shah Mohamed


TIGA PULUH TIGA ahli kumpulan kongsi gelap Geng 24 Apache termasuk seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang, hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dan membantu kumpulan itu sejak dua tahun lalu.

Namun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Semua tertuduh berusia 23 hingga 44 tahun.

Mengikut pertuduhan, 32 daripada mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng 24 bermula 1 Januari 2015 hingga hari ini di kawasan Klang.

Justeru, mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan Akta 574 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Manakala, seorang lagi wanita didakwa membantu geng itu dengan cara memberikan perkhidmatan kewangan untuk melanjutkan kepentingan kumpulan berkenaan.

Perbuatan itu dilakukan di Lorong Delima 4A, Bandar Parkland, Klang pada 1 Januari 2015 hingga 26 Julai 2017.

Dia melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 130W Kanun Keseksaan Akta 574 yang boleh dipenjara maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam dan Mohd Izhanudin Alias.

Manakala, semua tertuduh antaranya diwakili peguam Gerard Lazarus, V Rajehgopal, Gabriel Susayan, SK Pari, Thiru Kumar dan Zaleha Al Hayat.

Tiada kos jaminan ditawarkan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 14 September depan.

Tinjauan mendapati semua tertuduh dibawa dengan menaiki beberapa trak polis dan kawasan perkarangan mahkamah dikawal ketat kira-kira 160 anggota polis bertugas.

Dua daripada tertuduh turut memakai baju kalis peluru.

Harian Metro melaporkan selepas menahan 28 ahli kumpulan kongsi gelap Geng 24 Apachee dalam Ops Regimen Khas mulai 17 Julai lalu, polis Selangor memburu 15 lagi individu dipercayai ahli kumpulan itu bagi membantu siasatan berhubung gangsterisme.

Semua individu itu adalah A Sivabala, 30; M Komandass, 37; R Ragunathan, 27; P Vellasamy, 35; A Sinakaruppan, 29; K Murugan, 40; N Hilavarasan, 25; dan G Prabakaran, 32. Turut dicari A Ramakrishnan, 32; A A Parameswaran, 37; P Jayanathan, 39; LJ Sathiya Seelan, 34; M Thilip Kumar, 32; S Harvindran, 21; dan R Suthagar, 39.

Ia hasil penahanan 33 ahli kumpulan itu yang sebelum ini ditahan selama 29 hari mengikut Akta Kesalahan dan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 SOSMA.

Berdasarkan statistik Januari hingga Julai lalu, 266 orang ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor dan ia tertinggi di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 4:46 PM
ANGGOTA polis mengawal ketat ahli Geng 24 Apache yang dibawa ke Mahkamah Sesyen Klang. FOTO Faiz Anuar