KHAIRY meninjau Stadium MBPJ di Kelana Jaya, semalam.
KHAIRY meninjau Stadium MBPJ di Kelana Jaya, semalam.
Ardyhansah Amat


Kelana Jaya: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan melakukan kerja penyelenggaraan padang Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) setiap kali selesai perlawanan sepanjang dua hari penganjuran sukan ragbi.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, tindakan itu perlu dilakukan bagi menjaga kualiti padang dan keselamatan pasukan bertanding.

“Melalui perbincangan bersama KRM (Kesatuan Ragbi Malaysia) dan MBPJ, kami bersetuju melakukan kerja penyelenggaraan sebaik saja perlawanan ragbi selesai sebagai persiapan sebelum perlawanan seterusnya.

“Selain itu, kita akan potong rumput dalam beberapa hari lagi sebelum perlawanan pertama bermula,” katanya ketika melakukan lawatan kerja di Stadium MBPJ, di sini, semalam.

Difahamkan, stadium berkenaan akan digunakan bagi 36 perlawanan ragbi tujuh sebelah bagi kategori lelaki dan wanita, Sabtu dan Ahad ini.

Sementara itu, Presiden KBR Datuk Shahrul Zaman Yahya ketika ditemui berkata, banyak penambahbaikan sudah dilakukan di Stadium MBPJ sebelum menjelangnya pertandingan ragbi.

“Stadium ini sinonim dengan ragbi dan selepas Sukan SEA, ia akan menjadi lokasi perlawanan suku akhir Kejohanan Ragbi Piala Agong, September depan.

“Kami akan mengambil langkah proaktif dalam usaha memastikan padang berada dalam keadaan baik termasuk ketika pertandingan akhir nanti,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya berhasrat mengadakan perbincangan bersama MBPJ untuk menggunakan stadium berkenaan dari semasa ke semasa bagi setiap perlawanan ragbi.

“Stadium itu kini dijadikan lokasi tetap perlawanan pasukan ragbi MBPJ dan PJ Rangers Air Asia (bola sepak).

“Justeru, perbincangan perlu diadakan membabitkan perlawanan ragbi di sini, sementara menunggu stadium ragbi siap kelak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2017 @ 4:55 AM