Pondok pengawal keselamatan Kuarters Politeknik Port Dickson tempat Faralysa Amani ditemui. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


“PENCULIK menunjukkan pisau sebelum memaksa anak saya mengikutnya keluar dari rumah melalui pintu belakang,” dakwa Fazil Abdullah, 35, bapa kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang hilang dilarikan penjenayah yang memecah masuk rumahnya di Kuarters Politeknik Port Dickson, semalam.

Menurutnya, kejadian itu diceritakan anaknya, Faralisya Amani sebaik ditemui selepas ditinggalkan berhampiran pondok pengawal keselamatan, kira-kira 9 malam tadi.

Bapa kepada dua anak itu berkata, anak sulungnya memberitahu seorang lelaki masuk ke bilik tidur lalu menunjukkan pisau dan memaksa dia mengikutnya keluar.

"Anak saya memberitahu dia ketakutan menyebabkan mengikut arahan lelaki itu. Dia dibawa keluar melalui pagar dawai yang rosak di belakang kuarters dan dibawa menaiki kereta yang diletakkan di luar.

"Dia kemudian dibawa ke sebuah rumah tidak diketahui di mana. Saya tidak sempat bertanya lebih lanjut dengannya kerana dia masih trauma," katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Teluk Kemang, Port Dickson, hari ini.

Selepas kejadian itu berlaku, Fazil berkata, dia teringat minggu lalu anaknya pernah memberitahu sukar tidur kerana sering ternampak kelibat seseorang melihatnya dari luar rumah.

"Rumah saya juga pernah dimasuki penceroboh tetapi tiada barang yang hilang. Saya syak ia adalah perbuatan lelaki sama yang melarikan anak saya," katanya.

Fazil berkata, dia tidak menolak kemungkinan lelaki itu ketakutan apabila kehilangan Faralisya menjadi viral di media sosial dan bertindak meninggalkan anaknya di tepi jalan berhampiran pondok pengawal.

Katanya, anaknya itu meminta bantuan pengawal keselamatan menghubunginya sebelum dia serta isteri yang ketika itu berada di Masjid Warisan kerana mengadakan solat hajat bergegas pulang.

Harian Metro hari ini melaporkan, selepas lebih 15 jam dilarikan 'penculik' berkereta Kia berwarna perak, Faralysa Amani ditemui semula dipercayai dihantar penculiknya di pondok pengawal Kuarters Politeknik Port Dickson, malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2017 @ 4:06 PM