Laman web Sekolah Seri Puteri, seriputeri.edu.my dan innercircle.my yang digodam penggodam mendakwa dari Indonesia.
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


PENGGODAM mendakwa dari Indonesia menggodam laman web Malaysia selepas isu bendera Indonesia yang dicetak terbalik dalam buku cenderamata pembukaan rasmi Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur 2017, kelmarin.

Walaupun Malaysia sudah memohon maaf secara rasmi, penggodam itu masih tidak berpuas hati.

Antara mesej yang ditinggalkan, Bendera Negaraku Bukanlah Mainan dan mereka meletakkan gambar daripada buku panduan itu selain kata-kata kesat.

Berdasarkan pemerhatian, antara laman web yang digodam ialah laman web Sekolah Seri Puteri, seriputeri.edu.my dan innercircle.my.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, sebanyak 33 laman web Malaysia digodam setakat 3.40 petang, hari ini.

Katanya, antara laporan diterima, kemungkinan kebocoran maklumat sulit dan serangan Distributed Denial of Service (DDoS) (Pemberhentian Perkhidmatan).

“Ketika ini kita masih menjalankan siasatan, memantau perkembangan dan berkerjasama dengan agensi berkaitan untuk mengatasi kejadian serangan siber.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, CyberSecurity Malaysia mengingatkan pentadbir sistem untuk meningkatkan keselamatan sistem masing-masing bagi mengelakkan daripada ancaman serangan siber,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, setiap organisasi dinasihatkan melindungi sistem rangkaian masing-masing, memastikan sistem, aplikasi yang berkaitan dinaik taraf dengan sistem keselamatan terkini.

"Sekiranya masih menggunakan sistem operasi atau perisian versi lama, organisasi perlu memastikan ia dinaiktaraf ke perisian terkini kerana versi lama mudah untuk dimanipulasi oleh penceroboh. Selain itu, pastikan aplikasi berasaskan web dan rangkaian dipasang sewajarnya.

"Pastikan perisian anti virus anda dikemaskini dan mampu mengimbas semua fail termasuk dalam emel," katanya.

Amirudin berkata, orang ramai boleh merujuk ke laman web CyberSecurity Malaysia https://www.mycert.org.my/en/services/advisories/mycert/2017/main/index.... untuk maklumat lanjut dan kemas kini terkini mengikut saranan kami.

Katanya, laporan berhubung serangan siber ini boleh dibuat kepada Cyber999, menerusi emel [email protected] or [email protected]; telefon, 1-300-88-2999 ; fax, 603 89453442; telefon bimbit, 019-2665850 (beroperasi 24 jam setiap hari) dan hantarkan khidmat pesanan ringkas ke 15888.

Berita berkaitan:

Saya amat kesal dengan kesilapan ini

Tidak usah dibesar-besarkan- Jokowi

Terima permohonan maaf [METROTV]

Bermaaf-maafan lebih baik [METROTV]

Tidak disengajakan tiada niat buruk

Polis siasat isu bendera Indonesia terbalik

Media Indonesia panaskan isu bendera

Malaysia kesal insiden bendera terbalik-Anifah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2017 @ 8:16 PM