Zainudin menunjukkan pisau yang digunakan suspek untuk mengugut dan menculik budak perempuan berusia sembilan tahun. FOTO Khairul Najib Asarulah Khan
Khairul Najib Asarulah Khan


SUSPEK utama kes melarikan kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun di Port Dickson, minggu lalu, dipercayai gila seks.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Zainudin Ahmad berkata, penuntut institut pengajian tinggi berusia 21 tahun itu mengaku dia mengalami masalah gila seks menyebabkan dia bertindak demikian.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati suspek pernah cuba melarikan pelajar perempuan berusia 17 tahun dari asrama sebuah sekolah di Telok Kemang.

"Suspek menceroboh asrama berkenaan dan menggunakan kain diletakkan cecair pencuci lantai untuk menekup mulut mangsa yang sedang tidur, antara jam 3 hingga 4 pagi pada 13 Ogos lalu.

"Suspek cuba menculik pelajar terbabit namun gagal selepas mangsa menjerit menyebabkan dia melarikan diri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, hari ini.

Berikutan itu, katanya, suspek bertindak pula melarikan kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun pada keesokannya, sebelum meninggalkan mangsa di tepi jalan berhampiran pondok pengawal keselamatan selepas 16 jam menculik mangsa.

Zainudin berkata, suspek mengurung mangsa di sebuah rumah di Bandar Springhill dan mengikat serta mengugut mangsa supaya tidak melarikan diri.

"Pemeriksaan terhadap mangsa mendapati terdapat kesan luka pada kemaluan dan kecederaan di tangan serta kaki akibat diikat pada kerusi," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek juga turut terbabit dalam kegiatan curi motosikal.

Katanya, polis merampas pakaian dalam wanita, tiga telefon pintar, beberapa kad bank, peralatan pecah rumah selain kereta, kerusi dan tali yang dipercayai digunakan dalam kejadian melarikan kanak-kanak terbabit.

Menurutnya, suspek akan didakwa mengikut Seksyen 4(a) dan Seksyen 4 (b) Akta Kesalahan Seksual Kanak-kanak 2017, Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan kecil 1955 di Mahkamah Sesyen Seremban esok.

Dalam kejadian 14 Ogos lalu, kanak-kanak itu disedari hilang oleh bapanya ketika mahu mengejutkannya untuk ke sekolah pada 6.45 pagi sebelum mangsa ditemui ditinggalkan tepi jalan kira-kira 9 malam, hari sama.

Berita berkaitan

'Curi seluar dalam'

Andai benar, ganas budak sekarang ni

Siapa yang malu? Keluarga terima tempiasnya

Suspek larikan budak direman

Dua lelaki dah ditahan

'Penculik tu tunjuk pisau...'

Alhamdulillah, Faralysa ditemui selamat [METROTV]

Di mana Faralysa?

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2017 @ 6:52 PM