UMAR ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret Seremban. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Raja Noraina Raja Rahim


PENUNTUT Politeknik Port Dickson dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret Seremban, hari ini, atas sembilan pertuduhan menculik, membuat pelakuan seksual fizikal, mencuri dan memiliki barangan meragui.

Umar Ariffin, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu di hadapan Hakim G Ramesh dan Noor Hayati Mat serta Majistret KB Elena Hong Tze Lan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menculik kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun daripada penjagaan bapanya di rumah di Port Dickson, 3.30 pagi 14 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Selain itu, penuntut Diploma Kejuruteraan Mekanikal itu turut berdepan enam pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat.

Dia didakwa membuat perlakuan seksual fizikal terhadap kanak-kanak itu di tepi bangunan Jabatan Matematik, Sains dan Komputer di politeknik berkenaan dan di rumahnya di Lukut.

Kesalahan itu dilakukan antara 3 hingga 4 pagi pada 14 Jun dan jam 4.45 pagi hingga 7.10 petang pada 14 Ogos lalu.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan melapor diri di Balai Polis Lukut sekali sebulan dan dihalang mendekati mangsa serta keluarganya selain menetapkan sebutan semula pada 25 September.

Di Mahkamah Majistret, Umar mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal dan Seksyen Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana memiliki pelbagai barangan seperti pemutar skru, beg duit dan telefon bimbit.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dan menetapkan 21 September untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Shazwani Ishak dan Soo Kok Weng manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Zahid Ahmad, M Sivam serta K Mahalakshimi.

Berita berkaitan:

Penculik mengaku gila seks

Siapa yang malu? keluarga terima tempiasnya

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 2:25 PM