SYARAT 'wajib' calon suami mesti ikhlas terima adik-beradiknya.
Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my


Pengorbanan Sasqia Dahuri, 32, menjaga adiknya Syarnissa, 28, yang mengalami masalah saraf mata sejak kecil tidak pernah membebankan pelakon itu.

Apatah lagi dengan didikan yang diberikan orang tua mereka menjadikan dua beradik itu berdikari dan cekal menghadapi cabaran hidup.

Pelbagai usaha dilakukan bagi merawat penyakit adiknya itu, tetapi perlahan-lahan Syarnissa terus kehilangan penglihatannya.

Sasqia kagum dengan semangat Syarnissa yang tidak pernah mengalah dengan keadaan dirinya, malah bekas graduan universiti luar negara itu tetap pergi bekerja seperti biasa di sebuah syarikat korporat terkemuka di ibu kota.

Sekali imbas pasti orang luar tidak tahu keadaan sebenar Syarnissa.

“Saya hanya membantunya apabila diminta, tetapi kena bersedia pada bila-bila masa jika dia memerlukan saya. Ini kerana jika tiba-tiba dia berhadapan kesulitan, dia akan ‘mencari’ saya,” katanya.

Memiliki adik yang mempunyai masalah penglihatan juga mendorong Sasqia bergiat cergas dalam pertubuhan orang buta supaya dia dapat menyelami hati dan memahami situasi diri mereka.

“Sebenarnya melakukan kerja amal bukan perkara baru buat saya kerana sejak menuntut di kolej lagi saya suka tolong orang,” katanya.

Selain Syarnissa, pelakon drama Cik Bunga Encik Sombong ini mempunyai seorang lagi adik lelaki iaitu Danizz yang berusia 10 tahun.

Sebagai anak sulung, Sasqia sangat mengambil berat dua adiknya itu dan syarat ‘wajib’ kepada mana-mana lelaki yang mahu menyuntingnya sebagai suri hati, mereka mesti menerima adik-beradiknya juga.

“Jika berlaku apa-apa pada masa depan, Syarnissa dan Danizz akan berada dalam jagaan dan tanggungjawab saya. Oleh itu dalam apa jua keputusan yang diambil termasuk dalam soal berumah tangga saya mesti fikirkan mereka.

“Saya tidak begitu memilih calon suami dan tiada kriteria tertentu, tetapi dia mestilah ikhlas menyayangi saya dan dapat terima adik saya,” katanya.

Selepas dua kali putus cinta, Sasqia tidak terlalu memikirkan pengganti kerana dirinya bukan budak remaja lagi.

Tujuan dan hala tuju hidupnya kini jelas dan andai kata sudah sampai jodohnya nanti, dia tidak mahu menjalin hubungan cinta yang lama.

Menurut peminat drama Korea ini, dia sangat komited dan jika sudah menyukai seseorang, dia akan mencintainya sepenuh hati.

“Saya seorang yang romantis dan suka berangan-angan. Alangkah indah apabila berkahwin nanti, bangun pagi suami meletakkan sarapan roti disapu mentega dan kopi di tepi katil, ala-ala ‘princess’,” katanya sambil ketawa.

Menurut Sasqia, dia memang tidak ramai kawan. Walaupun pada usia sekarang sudah layak benar untuk berumah tangga, dia tidak suka memberi harapan kepada sesiapa.

“Saya wanita yang terlalu berdikari dan selesa dengan hidup sekarang. Namun, jika ‘datang’ jodoh yang baik dan mampu membahagiakan saya, bolehlah difikirkan,” katanya.

Kekok bawa watak wanita lemah lembut

Berkisar kepada kerjaya lakonan, pelakon tinggi lampai ini bermula sebagai model dan melangkah ke pentas lakonan pada 2014 menerusi drama Cinta Plastik.

Dia suka membawa watak antagonis atau jahat berbanding gadis pingitan. Ini kerana watak hitam memberi kepuasan kepadanya ketika beraksi.

“Terasa susah mahu membawakan watak wanita lemah lembut dan bercakap dalam nada ‘wanita Melayu terakhir’. Apabila saya diberikan watak baik saya rasa seperti ada yang tidak kena dan tidak serasi dengan jiwa. Walaupun tidak diberikan peranan utama, sebagai pelakon pembantu pun tidak mengapa asalkan watak itu dapat memberi impak kepada penonton,” katanya.

Sasqia berkata, dia mula mengumpul peminat di Singapura selepas membawa watak jahat bernama Erny Humairah dalam drama Cik Bunga Encik Sombong arahan Allahyarham Keoi.

“Sejak itu saya dapat rasakan kekuatan lakonan pada watak jahat dan ia terbukti ‘menjadi’ apabila berada di luar, peminat memanggil dengan nama itu.

“Dalam bidang lakonan kita kena tahu di mana kekuatan kita. Prinsip saya bekerja biarlah kerjaya seni berjalan seperti biasa dan tidak naik mendadak. Bukannya hari ini ‘meletup’, esok hilang entah ke mana. Berlakon adalah satu profesion bukan untuk mencari glamor dan saya akan melakukannya dengan bersungguh-sungguh,” katanya.

Jadi pegawai JPJ

Menerusi pembabitannya dalam drama Cinta Din Sardin yang sedang bersiaran di TV9, Selasa hingga Ahad, jam 8.30 malam, Sasqia membawa peranan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan dia perlu menjalani latihan di kem JPJ di Melaka selama dua minggu.

“Tiada pengecualian, semua dimestikan bangun jam 6 pagi menjalani latihan sehingga petang. Menceburi bidang lakonan saya belajar banyak perkara baru dan tidak pernah merungut dengan apa yang ada sekarang.

“Itulah kelebihan menjadi seorang pelakon, dapat menjadi orang lain dan sentiasa menimba pengalaman baru, kerana itu juga saya memilih kerjaya lakonan,” katanya.

Drama lain lakonan Sasqia ialah Jurnal Suraya yang sedang mengisi slot Zehra (TV3), Khabar Dari Casablanca kini ke udara di TV2, setiap Selasa hingga Khamis, jam 8.30 malam, Cinta Hati Batu, yang akan disiarkan di slot Lestary (TV3) dan Seram Komedi (TV3).

Dalam perkembangan lain, Sasqia juga mengusahakan perniagaan tudung dan produk kecantikan.

Dia yang sangat meminati bidang perniagaan pernah menyewakan kereta yang dibelikan bapanya untuk kemudahannya di kolej kepada pelajar lain.

“Saya sendiri sanggup naik bas atau naik teksi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2017 @ 6:48 AM