Muhammad Saufi Hassan


“SAYA amat takut jika saya mati kelak, Allah akan mempersoalkan saya mampu untuk menghafal lirik lagu, namun saya tidak mampu untuk menghafal serta membaca al-Quran.

“Disebabkan kebimbangan itu, saya mula mendekati al-Quran tatkala berada di dalam penjara. “Cukuplah, hidup saya berada dalam kerugian selama 43 tahun.”

Demikian luahan vokalis kumpulan Spring, Wan Aminuddin Wan Ismail, 49 atau nama pentasnya Ameng yang mahu merubah kehidupannya ke arah kebaikan.

Ameng yang akan memperdengarkan bacaan sempena World #QuranHour (WQH) dan Merdeka #QuranHour (MQH) pada 31 Ogos ini menyatakan keyakinan dan segala persiapan untuk program itu sudah dilakukan.

Ameng berkata, masa terluang yang ada di penjara beberapa tahun lalu membuatkannya terfikir bahawa dia mampu untuk menghafal lagu, namun tidak mampu untuk membaca satu surah pendek di dalam al-Quran.

“Memang saya akui saya bimbang, takut dan resah. Ketika itu, saya yakin bahawa jika saya mati, Allah akan tanya saya soalan itu, jadi sedikit demi sedikit saya belajar.

“Cukuplah selama ini saya banyak mensia-siakan usia saya dengan pelbagai perkara tidak berfaedah, saya juga akui, kesalahan saya dan pengalaman saya di penjara banyak mengajar untuk mengubah diri,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Menceritakan kembali kisahnya mula berdamping dengan al-Quran, Ameng berkata, dia tidak pernah membaca al-Quran dan ‘buta huruf’ sepanjang 43 tahun sebelum menjadi penghuni penjara.

“Saya tidak tahu membaca al-Quran sebelum ini. Memang dulu, ibu ayah ada hantar saya ke kelas ketika kecil, tapi saya lari dan bermain bersama rakan.

“Namun, semasa berada di penjara, saya mula belajar. Bermula dengan Alif Ba Ta, saya masih ingat saya tulis huruf jawi itu dalam tulisan rumi.

“Alhamdulillah, berkat tunjuk ajar ustaz yang bertugas di penjara dan keinsafan yang terbit sendiri, selama empat bulan saya sudah mampu mengaji al-Quran,” katanya.

Menurutnya, al-Quran mempunyai pelbagai kebaikan dan ketika dia mula berinteraksi dengan kitab suci itu, jiwa serta hatinya tenang menghadapi pelbagai ujian.

“Jika ingin kongsi kebaikan al-Quran ini banyak sebenarnya, saya sendiri melalui pengalaman itu. Ketika keluar daripada penjara, saya tidak banyak tawaran persembahan. Jadi, saya teruskan istiqomah menghafal surah-surah lazim.

“Alhamdulillah, mungkin kerana usaha berterusan itu, rezeki datang tidak putus. Saya masih ingat pesan ustaz, jika kita mendekati akhirat (al-Quran) dunia akan mengikuti kita.

“Itu yang terjadi kepada saya. Jika dulu saya mengejar keduniaan, sampai duit simpanan pun saya tidak ada. Sekarang Alhamdulillah, Allah beri saya ujian dan mengubah diri saya,” katanya.

Mengulas berhubung WQH dan MQH, dia bersyukur kerana pihak penganjur memberikan kepercayaan kepadanya untuk memperdengarkan bacaan di samping beberapa selebriti tempatan lain.

“Ini adalah satu usaha dakwah yang sangat murni. Saya teruja, seronok dan syukur. Jika dulu orang mengenali Ameng dengan lagu-lagu, kini Ameng sudah mampu mengalunkan bacaan al-Quran,”€ katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2017 @ 8:15 PM
Ameng akan memperdengarkan bacaan sempena World #QuranHour (WQH). FOTO Muhammad Saufi Hassan