PEMAIN Valencia Dani Parejo (kiri) berebut bola dengan penjaga gol Las Palmas Leandro Chichizola di Valencia.
AFP

Madrid: Valencia melakukan kunjungan paling getir dalam kancah bola sepak Eropah ketika ini untuk berdepan Real Madrid malam esok dirangsang keyakinan baru berikutan kekalahan dalam dua musim mengecewakan.

Masih satu daripada kelab terbesar Sepanyol berdasarkan bajet dan sokongan, Valencia berakhir di tangga ke-12 dalam dua kempen terakhir ketika pemilik dari Singapura, Peter Lim memecat beberapa jurulatih dan melakukan kesilapan membeli pemain.

Bagaimanapun, dengan bekas bos Villarreal, Marcelino Garcia Toral kini mengendalikan pasukan, Peter akhirnya mengikut nasihat peminat untuk mendapatkan khidmat jurulatih berpengalaman La Liga dengan rekod menakjubkan.

Valencia membuka tirai kempen La Liga dengan kemenangan 1-0 ke atas Las Palmas hujung minggu lalu dan tampil bertenaga ke Santiago Bernabeu dengan Gabriel Paulista, Jeison Murillo dan Geoffrey Kondogbia dijangka melakukan penampilan sulung.

Berikutan perubahan ketara dalam polisi, ketiga-tiganya menyerlah dalam La Liga sebelum ini dan Marcelino membuktikan keghairahannya dengan meniru kejayaan di Villarreal dengan membina pasukan dari benteng pertahanan.

Gabriel, sebelum ini bekerja dengan Marcelino di Villarreal hadir secara perpindahan tetap manakala Murillo dan Kondogbia tiba secara pinjaman semusim dari Inter Milan.

“Kami mengikat dua pertahanan tengah dari Arsenal dan Inter, bercakap bahasa Sepanyol dan tahu mengenai La Liga,” kata Marcelino.

“Mereka faktor utama. Seorang daripada mereka saya amat kenali dan Murillo seorang pemain hebat. Mereka memberikan kami kelebihan kompetitif.”

Valencia perlu berada di tahap terbaik secara bertahan jika mereka mahu mencuri sekurang-kurangnya satu mata dari Bernabeu.

Madrid tidak gagal menjaringkan gol dalam tempoh 16 bulan dan seolah-olah tidak terkesan dengan ketiadaan Cristiano Ronaldo kerana penggantungan pada awal musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2017 @ 8:20 AM