Pemenang pingat emas show jumping berpasukan (dari kiri) Neelan, Sharmini , Qabil dan Praveen, pada Sukan SEA KL2017 di Equestrian centre Rawang. -Foto/MAHZIR MAT ISA
Ajitpal Singh


SHARMINI Christina Ratnasingham mengatasi masalah kecederaan yang boleh menjejaskan kariernya untuk mengetuai Malaysia memenangi acara show jumping berpasukan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Pusat Ekuestrian 3Q, Rawang, hari ini.

Ia adalah emas pertama negara dalam acara show jumping sejak kali terakhir memenanginya pada Sukan SEA Korat 2007.

Sharmini, adik lelakinya Neelan Jonathan bersama Qabil Ambak dan Praveen Nair Mathavan bergandingan bersama membantu Malaysia memenangi emas walaupun mendapat tentangan sengit daripada Filipina (perak) dan Thailand (gangsa).

Dia mengalami kecederaan selepas terjatuh dari kudanya, Arcado L di Switzerland, tahun lalu. Dia kemudian menjalani pembedahan dan hanya kembali berlatih, Mac lalu.

“Saya sangat gembira. Persaingan sangat sengit dan kami berjaya memenangi emas.

“Ia pencapaian yang lebih baik berbanding meraih gangsa dan perak pada edisi 2011 dan 2015,” katanya.

Pemenang pingat terpaksa diputuskan menerusi jump-off selepas Malaysia, Filipina dan Thailand terikat dengan masing-masing melakukan lapan fault selepas dua pusingan.

Di pusingan penentuan itu, Malaysia tidak melakukan sebarang kesilapan dengan Filipina melakukan 12 fault manakala Thailand mengumpul 15 fault.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2017 @ 4:37 PM