HAMILTON (tengah) meraikan kejayaan posisi petak pertama buat kali ke-68 di Grand Prix Belgium.
AFP

Spa-Francorchamps, Belgium: Lewis Hamilton mencatat rekod tersendiri dengan kejayaan melakar petak pertama ke-68 semalam, menyamai rekod dicatat Michael Schumacher pada sesi kelayakan di Grand Prix Belgium.

Juara dunia tiga kali berusia 32 tahun itu akan memulakan perlumbaan hari ini yang juga ke-200 sepanjang kariernya, dari petak pertama keenamnya tahun ini dengan pendahulu kejuaraan dari Jerman Sebastian Vettel yang memandu Ferrari mengekorinya di tempat kedua.

Catatan sepusingan Hamilton iaitu 1 minit 42.553 saat adalah catatan rekod terpantas sepanjang zaman di litar Spa-Francorchamps yang terletak di kawasan hutan Ardennes, Belgium mendahului Vettel 0.242 saat.

Petak pertama ke-68 buat pemandu Mercedes membolehkannya berkongsi rekod dengan juara dunia tujuh kali Schumacher yang segera mengucapkan tahniah kepadanya yang disampaikan kepadanya menerusi bekas pengarah teknikal Ferrari Ross Brown.

“Saya berada di sini untuk menyampaikan mesej istimewa daripada keluarga Schumacher yang ingin mengucapkan tahniah kepada anda atas kejayaan menyamai rekod Michael,” kata Brawn yang memeluknya sebelum menyampaikan mesej berkenaan.

“Dia sentiasa mengatakan rekod adalah untuk diatasi dan mereka ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga.”

Vettel yang dilaporkan Ferrari menandatangani kontrak lanjutan selama tiga tahun semalam, merebut kedudukan di barisan hadapan dengan pemanduan dramatik pada percubaan akhir.

Dia mendahului Hamilton dengan 14 mata, berbaki sembilan perlumbaan tahun ini.

Rakan sepasukan Hamilton di Mercedes dari Finland Valtteri Bottas melepasi sesi kelayakan di petak ketiga di depan rakan senegara Kimi Raikkonen yang memandu Ferrari kedua, pelumba Belanda Max Vestappen dan rakan sepasukan Red Bull dari Australia Daniel Ricciardo.

Pelumba Jerman Nico Hulkenberg di petak ketujuh buat Renault mendahului pemain Mexico Sergio Perez dan rakan sepasukan Force India dari Perancis Esteban Ocon diikuti pelumba Britain Jolyon Palmer, di petak ke-10 bersama Renault selepas mengalami kegagalan enjin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2017 @ 7:33 AM