AHMAD Shabery melawat kandang lembu pada program pemasaran Lembu Korban Agropreneur Muda Ternakan Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat, semalam.
Siraj Mohd Zaini


Kuala Langat: Orang ramai diminta menyemak dan meneliti status lembu serta kerbau ternakan yang dibeli daripada penternak bagi memastikan ia menjalani pemeriksaan kesihatan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, langkah itu turut mengelak rakyat membeli haiwan yang diseludup dari negara jiran terutama ketika sambutan Aidiladha ini.

“Kementerian berharap orang ramai membeli lembu atau kerbau yang mempunyai tanda di telinga iaitu haiwan bukan diseludup.

“Haiwan itu menjalani pelbagai pemeriksaan bagi memastikan ia selamat untuk dijual kepada pengguna,” katanya selepas merasmikan program pemasaran Lembu Korban Agropreneur Muda Ternakan Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery turut menafikan jumlah lembu dan kerbau diseludup dari negara jiran menjangkau sehingga 15,000 hingga 20,000 sejak awal tahun ini.

Katanya, berdasarkan cara penyeludupan dan kawalan pihak berkuasa, tidak mungkin jumlah itu mampu diseludup kecuali semua haiwan berkenaan dibawa masuk menggunakan kapal besar.

“Namun kementerian menunggu laporan penuh daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) berhubung perkara itu.

“Kementerian memandang serius laporan media mengenai penyeludupan itu kerana ia memberi kesan kepada haiwan ternakan serta mereka yang memakan dagingnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2017 @ 10:33 AM