SAEMAN membawa katil ketika tidur di kandang lembu bagi menjaga ternakannya yang dibeli Jokowi sempena Aidiladha. - Agensi
Agensi

Mamuju, Indonesia: Seorang lelaki rela tidur di kandang lembu dan meninggalkan anak dan isterinya di rumah selepas haiwan ternakannya itu dibeli Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) untuk dikorbankan.

Jokowi membeli lembu seberat 1.1 tan itu dengan harga Rp60 juta (RM19,200) daripada Saeman yang tinggal di Wononomulyo, Polewali Mandar di Sulawesi Barat.

Sejak lembu itu dibeli oleh Jokowi, Saeman menjaga kandang lembunya 24 jam setiap hari kerana bimbang haiwan itu dicuri.

Saeman juga menjadi terkenal dan sering dikunjungi penduduk kampung selepas berita mengenai lembunya yang dibeli Jokowi tersebar.

“Saya tak ingin mengecewakan presiden jadi saya jaga lembu ini 24 jam dan rela tidur di kandang supaya saya boleh serahkan haiwan ini dengan sempurna,” katanya yang dipetik Tribunnews.com.

Menurutnya, dia bangga dan gembira kerana lembunya dibeli pemimpin nombor satu Indonesia itu.

“Saya bangga bukan sahaja lembu ini dijual pada harga yang tinggi tetapi pembelinya juga bukan orang biasa,” jelasnya.

Katanya, sebelum ini belum ada lembu di Sulawesi Barat yang dibeli presiden Indonesia dan lembunya yang diberi nama Kliwon itu adalah yang pertama.

Pegawai jabatan penternakan Polewali Mandar, Kaharuddin memberitahu, lembu itu dipilih Jokowi untuk disumbangkan kerana haiwan berkenaan yang terbesar di daerah berkenaan.

Menurutnya, lembu itu akan dibawa ke lokasi ibadat korban sempena Aidiladha yang disambut pada hari ini di Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2017 @ 8:09 AM