WANY usahakan sendiri kerana kerjaya baru saja bermula.
WANY usahakan sendiri kerana kerjaya baru saja bermula.
Syafil Syazwan Jefri


Imej dan penampilan tentunya berkait rapat dengan kerjaya sebagai artis. Namun, sesetengah artis memerlukan masa membiasakan diri untuk sentiasa tampil seperti dimahukan masyarakat.

Bagi penyanyi Wany Hasrita, 25, yang kini popular dengan lagu Menahan Rindu hingga menjadi fenomena sekali gus melonjakkan namanya, mengakui pernah menerima komen daripada peminat di laman sosial mengenai penampilannya.

Kata penyanyi yang bermula di aplikasi Smule ini, dia bersyukur komen diberi tidaklah keterlaluan.

“Kalau ada yang komen pun, kebanyakan mereka akan menegur kalau nampak saya berpakaian ketat atau mencolok mata.

“Mereka tidak mahu saya berubah dari segi penampilan kerana mereka tahu saya memang selesa mengenakan tudung labuh dan pakaian yang tidak terlalu terdedah,” katanya.

Wany akui terlalu awal baginya untuk mengambil penasihat imej memandangkan kerjayanya sebagai penyanyi baru saja bermula.

“Bagi saya buat masa ini tidak perlu untuk mengambil penasihat menyelaras imej saya. Rasanya masih terlalu awal kerana kerjaya saya baru bermula.

“Buat masa sekarang, saya usahakan sendiri. Kadangkala ada penaja menaja pakaian dan saya hanya pakai apa yang mereka berikan.

“Begitu juga solekan. Saya sebenarnya jarang bersolek, tapi apabila perlu, saya akan bersolek contohnya untuk sesi fotografi,” katanya.

Melonjak nama seiring populariti, Wany mengakui perlu mengambil tahu mengenai penataan gaya.

“Sebagai artis, saya akui perlu sentiasa tampil bersedia. Perlahan-lahan, saya biasakan diri untuk bersolek. Kalau ada peminat yang ingin bergambar dan sebagainya, sekurang-kurangnya saya tampil bersedia.

“Solekan yang saya kenakan pun tidaklah terlalu mampan. Saya lebih suka tampil minimal, tetapi nampak segar dan bertenaga,” katanya.

TAK PERLU GOSIP

Memiliki penampilan menarik dan digandingkan pula dengan penyanyi lelaki menerusi lagu duet, ia turut menjebakkan Wany ditimpa gosip cinta dengan rakan duetnya itu.

Pernah dikatakan bercinta dengan penyanyi Tajul selepas berganding untuk lagu Di Sana Cinta Di Sini Rindu, Wany ada pendapatnya sendiri mengulas gosip itu.

Wany menafikan untuk dikenali perlu ada kontroversi atau cerita sensasi seperti dikaitkan dengan gosip cinta.

“Benda seperti gosip cinta sebegitu sebenarnya tak perlu pun. Ada artis yang bersih daripada gosip, namun tetap diterima peminat.

“Namun, kita tak boleh tutup mulut masyarakat. Sebagai artis, kena jaga tatasusila dan sikap kita, lebih-lebih lagi saya yang berpenampilan bertudung,” katanya.

Wany tidak menafikan gosip yang muncul antaranya dengan Tajul itu sedikit sebanyak membantu menaikkan lagu duet mereka.

Selepas Menahan Rindu, terbaru Wany hadir dengan single solo kedua, Rintihan Rindu hasil ciptaan Ibnu Gufran.

Sudah tentu sebagai penyanyi, Wany mengharapkan single solo keduanya ini mampu mengulangi kejayaan single pertamanya.

“Sudah tentu saya sentiasa berharap agar Rintihan Rindu menerima sambutan seperti Menahan Rindu. Alhamdulillah, selepas dua minggu video liriknya dimuat naik ke YouTube, jumlah tontonan sudah mencecah lebih sejuta.

“Video muziknya juga dirakamkan di Pulau Redang dan akan dilancarkan dalam masa dua atau tiga minggu lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2017 @ 1:36 AM