PENDUDUK kampung menangkap buaya seberat 200 kilogram.


Saratok: Ketika umat Islam di kampung lain sibuk dengan lembu korban masing-masing, lain pula penduduk di Kampung Kaba, di sini, yang ‘bergotong-royong’ menangkap buaya, semalam.

Penduduk, Zamir Othman, 31, berkata, penduduk kampung menemui buaya terbabit di parit, jam 7 pagi.

Menurutnya, dia bersama yang lain berpakat menjerat buaya berkenaan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Buaya sepanjang 4.42 meter serta seberat lebih 200 kilogram itu akhirnya dapat ditangkap penduduk.

“Kami memasang tali jerat di sekitar parit dan apabila reptilia itu termasuk ke dalamnya, kami terus menyentap tali berkenaan sebelum mengikat mulutnya.

“Sebelum ini, ayam serta itik ternakan kami sering hilang dan kami yakin, buaya sama yang membahamnya,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Zamir, penduduk juga yakin buaya sama sering masuk di bawah rumah mereka ketika air pasang besar.

“Sebelum ini sudah dua kali kami cuba menangkap buaya berkenaan namun gagal.

“Kami menunggu pihak berkuasa mengambil reptilia ini. Jika ada pembeli, kami sanggup menjualnya.

“Pada masa sama, kami harap jika ia diambil pihak berkuasa, mohon jangan dilepaskan ke sungai di kampung kerana ia membahayakan penduduk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2017 @ 10:03 AM