Izlaily Nurul Ain Hussein


PORTAL berita Singapura, The Independent memohon maaf susulan penyiaran laporan berita tidak sahih berhubung kematian warga Singapura akibat kemalangan di Johor Bahru.

Permohonan maaf itu dipercayai selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mahu mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

Menerusi laman portal itu, laporan berita berhubung dakwaan ambulans Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru yang lewat memberi respon selain pihak hospital yang mendesak meminta wang pendahuluan sebelum menjalankan rawatan kecemasan terhadap mangsa juga sudah dikeluarkan.

Sebaliknya, pada pautan laporan berita itu digantikan dengan notis tertera: “'We’re Sorry!' (Kami mohon maaf!).

"Kami memohon maaf kepada pihak yang terbabit kerana menimbulkan kerumitan dan kesusahan yang menyebabkan insiden ini. (We unreservedly apologize to the parties concerned for the anguish and distress this incident has caused)," katanya.

Khamis lalu, portal berita itu menyiarkan dakwaan rakan mangsa kemalangan warga Singapura, Justinian Tan, yang ambulans lewat 30 minit dalam memberi respon terhadap kemalangan pada 25 Ogos lalu itu.

Dalam artikel itu juga, rakan mangsa mendakwa pihak HSA menuntut wang deposit daripada keluarga mangsa 25 tahun itu sebelum menjalankan sebarang rawatan ke atas mangsa sehingga dakwanya, mangsa terpaksa dipindahkan ke hospital di Singapura.

Namun, mangsa gagal diselamatkan dan meninggal dunia apabila didakwa lewat menerima rawatan.

Isu berkenaan terus menjadi hangat apabila Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan media memaklumkan hasil siasatan yang dilakukan mendapati tidak berlaku kelewatan ambulans atau desakan bayaran deposit seperti didakwa.

Malah, KKM juga dilaporkan akan menghantar surat rasmi kepada kerajaan Singapura sebagai tanda tidak puas hati dan kesal susulan tindakan portal berita republik itu yang memfitnah perkhidmatan kesihatan dan kakitangan perubatan negara ini.

Berita berkaitan

Masalah komunikasi

'Kita tak puas hati'

Dakwaan tak berasas

'Kita akan siasat' - Datuk Ayub Rahmat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2017 @ 3:26 PM