GAMBAR ini dipetik daripada page Info Semasa Tumpat di laman Facebook.
Mohamad Zulhairie Manzaidi
am@hmetro.com.my


WANITA ditahan selepas mencuri di rumah keluarga pengantin ketika majlis perkahwinan di Kampung Nechang, Tumpat.

Wanita berusia 53 tahun itu dikatakan menyamar sebagai tetamu sebelum menyelinap masuk ke dalam bilik ahli keluarga pengantin, pada 3.15 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Nik Azlan Nik Ibrahim, berkata perangai pelik wanita terbabit disedari seorang daripada ahli keluarga pengantin.

“Anak mangsa menyedari kelakuan pelik wanita itu yang naik ke rumah ketika orang ramai sedang menyambut pengantin lelaki.

“Dia kemudian mendapati duit hilang selepas memeriksa beg di dalam bilik terbabit.

“Suspek kemudian ditahan oleh anak mangsa di garaj sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati wanita itu mempunyai sembilan rekod jenayah lampau membabitkan kes curi.

"Wanita itu ditahan reman tiga hari, bermula hari ini, untuk membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2017 @ 9:49 PM