SEBAHAGIAN rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Titingan, Tawau. FOTO ihsan pembaca
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@hmetro.com.my

 

KIRA-KIRA 80  rumah di Kampung Titingan, Tawau, musnah dalam kebakaran 12.40 tengah malam tadi.

Api merebak dengan pantas  berikutan kedudukan rumah yang rapat antara satu sama lain.

Setakat ini, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan pada 12.55 tengah malam sebelum 31 anggota bomba bersama empat jentera dan empat utiliti dikerah ke lokasi.

"Anggota bomba yang tiba di lokasi lima minit kemudian berjaya mengawal api pada 2.28 pagi.

"Setakat ini, dianggarkan  80 rumah musnah dan operasi memadam sisa kebakaran masih dilakukan," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, punca kebakaran serta nilai kerugian masih dalam siasatan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2017 @ 3:26 AM