SYAZWAN (no 16) jaring gol penyamaan. Gambar kecil, pengadil  perlawanan diiringi  pengawal keselamatan  selepas tamat perlawanan  di Stadium Hang Jebat, Krubong, malam tadi.   FOTO Khairunisah Lokman
SYAZWAN (no 16) jaring gol penyamaan. Gambar kecil, pengadil perlawanan diiringi pengawal keselamatan selepas tamat perlawanan di Stadium Hang Jebat, Krubong, malam tadi. FOTO Khairunisah Lokman
Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya menempah laluan sukar dalam misi mencari tiket ke pusingan akhir Piala Asia 2019 selepas sekadar seri 1-1 dalam aksi penuh kontroversi di hujung perlawanan kelayakan Kumpulan B di Stadium Hang Jebat malam tadi.

Penjaga gol Muhammad Hafizul Hakim menyelamatkan maruah skuad negara daripada diaibkan pasukan pelawat selepas menyelamatkan sepakan penalti Alessandro Leonardo pada masa kecederaan ketika mereka terpaksa beraksi dengan sembilan pemain gara-gara Rizal Ghazali dan Aidil Zafuan Abd Radzak dilayangkan kad merah.

Bagaimanapun kegagalan mengutip mata penuh dalam dua aksi pertama di laman sendiri selepas tewas 1-2 kepada Lubnan di Larkin, Jun lalu meletakkan mereka dalam kedudukan bahaya untuk mara ke peringkat seterusnya apabila terus terperosok di tangga tercorot kumpulan dengan satu mata.

Perlawanan agak seimbang pada babak pertama dengan kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan terbuka dalam usaha mencari gol awal.

Malaysia hampir di depan namun sepakan percuma kapten Safiq Rahim pada minit ke-23 sedikit tersasar manakala rembatan penyerang Darren Lok tepat ke dakapan penjaga gol Hong Kong Yapp Hung Fai, 11 minit kemudian.

Penyerang pasukan pelawat Alexander Oluwatayo pula terlepas peluang dengan melepaskan rembatan lemah untuk penjaga gol Malaysia Muhammad Hafizul Hakim mudah menyelamatkan keadaan selepas melakukan kesilapan ketika mengeluarkan bola dari kawasan bahaya pada minit ke-30.

Sukar untuk mempercayai apabila pemain sayap Baddrol Bakhtiar gagal menyudahkan peluang di depan pintu gol selepas menerima hantaran lintang Syazwan Zainon, lima minit sebaik babak kedua bermula.

Ketika anak buah Vingada ghairah mengasak, mereka dihukum melalui serangan pantas Hong Kong apabila Jaimes Mckee yang meloloskan diri daripada kawalan Rizal di sebelah kanan melakukan hantaran lintang kepada penyerang kelahiran Brazil Leonardo untuk meledak gol pertama pada minit ke-53.

Kegembiraan skuad bimbingan Kim Pangon itu tidak bertahan lama apabila Syazwan yang tidak dikawal dalam kotak penalti mudah menolak masuk gol penyamaan tiga minit kemudian.

Bagaimanapun Hong Kong yang mengikat Korea Utara 1-1 sebelum ini boleh membawa pulang mata penuh namun sepakan penalti Leonardo berjaya dibaca Hafizul.

Harimau Malaya akan meneruskan kempen dengan menentang Korea Utara di Pyongyang pada 5 Oktober depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2017 @ 4:20 AM