SULTAN Ibrahim buat julung kalinya berkenan memandu kereta roda tiga Morgan buatan Britain sempena KMJ 2017. FOTO NSTP/Royal Press Office
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


Johor Bahru: Selepas tiga trak Mack mewarnai Kembara Mahkota Johor (KMJ) tahun lalu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar sekali lagi tampil dengan gaya tersendiri dengan memandu kereta beroda tiga buatan Britain sempena KMJ 2017 bermula 9 hingga 12 September ini.

Kereta beroda tiga Morgan itu direka khas mengikut spesifikasi baginda dan ia menjadi tarikan kepada orang ramai serta rakyat Johor sepanjang empat hari program merentas beberapa daerah.

Bukan saja unik, malah kereta hijau pucuk pisang itu tidak berpintu dan bumbung selain lambang kemahkotaan Sultan Ibrahim (SI) dipaparkan pada badannya.

Seperti tahun sebelumnya, Sultan Ibrahim yang pernah memandu Prevost Marathon Coach dan trak Mack, kali ini sudah pasti Morgan menjadi tumpuan ramai.

Setiausaha KMJ Kapten Fahmy Yahya berkata, KMJ yang memasuki edisi ke-20 tahun ini membabitkan jarak perjalanan 808 kilometer (km).

Beliau berkata, Sultan Ibrahim menjelajah ke 10 daerah membabitkan Johor Bahru, Kota Tinggi, Mersing, Kluang, Segamat, Muar, Ledang, Batu Pahat, Pontian dan Kulai.

“KMJ kali ini menyaksikan Sultan Johor memandu Morgan bersama sembilan model sama yang lain.

“Selain itu, orang ramai boleh menyaksikan motosikal Harley Davidson yang diketuai Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar,” katanya yang memperincikan KMJ 2017 membabitkan keluarga Diraja Johor.

Beliau berkata, edisi ke-20 tahun ini membawa tema Menangani Gejala Sosial dan Memperkasakan Industri Asas Tani dengan pelepasan di Dataran Majlis Bandaraya Johor Bahru dan tamat di Hutan Bandar Putra, Kulai.

Katanya, pelbagai program menarik diadakan di setiap daerah yang dikunjungi.

“Antaranya pameran basikal artistik di Johor Bahru, aktiviti rekreasi sungai, pertandingan lumba sampan dan menangkap itik di Kota Tinggi.

“Turut diadakan pertandingan bola tampar pantai di Mersing), demonstrasi mencetak baju di Kluang, iron man challenge di Segamat dan demonstrasi masakan ayam engkong di Tangkak,” katanya.

Katanya, turut diadakan demonstrasi perahan susu lembu di Muar, gimik penanaman pokok nadir di Batu Pahat, persembahan permainan gasing di Pontian dan pameran ukiran kraf kayu di Kulai.

Sempena program itu, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bersetuju memberi sumbangan kepada penerima yang layak di setiap daerah.

Katanya, ia membabitkan 15 penerima sumbangan di Johor Bahru, Muar (10), Batu Pahat (15), Segamat (15), Kluang (40), Pontian (10), Kota Tinggi (10), Mersing (37), Tangkak (20) dan 20 di Kulai.

Manakala penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula membabitkan 15 individu di Johor Bahru, Muar (10), Batu Pahat (40), Segamat (10), Kluang (20), Pontian (10), Kota Tinggi (20), Mersing (20), Tangkak (30) dan 30 di Kulai.

Program empat hari memberi peluang kepada rakyat mendampingi serta mengenali lebih rapat Sultan Ibrahim yang terkenal dengan sikap ramah dan berjiwa rakyat.

Hari pertama kembara membabitkan laluan 195km dengan majlis pelepasan bermula di Dataran Bandaraya Johor Bahru, jam 8.15 pagi, 9 September ini.

Kembara bergerak ke beberapa lokasi termasuk Kampung Pasir Gudang Baru, Titian Laksamana Kota Tinggi dan Dataran Kembara, Kampung Sri Lalang, Mersing sebelum berakhir di Istana Flintstones.

Hari kedua membabitkan laluan 157km bermula di Istana Flinstones, Kem Iskandar dan Pulau Mensirip, bangunan Mersing Harbour Centre, FELDA Nitar 1, Mersing diikuti FELDA Kahang Barat dan Laman Pesona Kluang sebelum berakhir di Kem Batalion 5 PGA Simpang Renggam.

Pada hari ketiga, kembara membabitkan laluan 209km bermula di Kem Batalion 5 PGA Simpang Renggam, Bandar Baru Ayer Hitam, Gerai Majlis Daerah Labis, Taman Chaah Baru, Taman Tenang Jaya dan Dataran Segamat di Segamat.

Sultan Ibrahim meneruskan kembara ke Laman Herba Kampung Sagil Parit 2 dan Medan Selera, Taman Serom Utama, Sungai Mati di Tangkak, Dataran SRCC Sungai Abong, Muar dan berakhir di Rumah Muar 3.

Kembara hari terakhir membabitkan perjalanan 247km bermula di Dataran Tanjung Emas, Muar diikuti Padang Bukit Mor, Parit Jawa dan berehat di Sekolah Menengah Agama Parit Sulong, Batu Pahat.

Perjalanan diteruskan ke Taman Botani, Seri Medan, Batu Pahat, Dataran Dato’ Sukiman SIMP Parit Botak, Kampung Permatang Duku, Benut, Dewan Orang Ramai, Ayer Baloi di Pontian dan diteruskan ke Dewan Semai Bakti FELDA Bukit Batu sebelum berakhir di Hutan Bandar, Bandar Putra, Kulai jam 4.20 petang, 12 September.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2017 @ 4:33 AM