Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Harun Yahya


LELAKI yang pernah dipenjarakan kerana merogol anak perempuannya pada 2008 sekali lagi ditahan polis selepas didapati merogol cucunya sejak setahun lalu.

Difahamkan, suspek berusia 53 tahun itu merogol cucunya berusia tujuh tahun di sebuah rumah panjang di Sungai Durin di Sibu sejak keluar dari penjara Ogos tahun lalu.

Lebih keji lagi, suspek turut bersekongkol melakukan perbuatan sumbang mahram itu bersama anak lelakinya berusia 25 tahun yang juga bapa saudara kepada mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, kes itu terbongkar Sabtu lalu apabila kanak-kanak itu memberitahu ibunya berhubung perbuatan kedua-dua suspek berkenaan.

“Mangsa mendakwa kes berlaku beberapa kali sejak tahun lalu ketika tinggal bersama datuknya di rumah panjang itu, manakala ibunya pula tinggal di Mukah.

“Kedua-dua suspek ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu, semalam,”€ katanya.

Mahkamah Majistret Sibu memerintahkan kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Sofia S Sarawan selepas menerima permohonan daripada pihak polis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2017 @ 1:35 PM
Kedua-dua suspek kes rogol diiringi polis untuk mendapatkan perintah tahanan reman di Mahkamah Majistret Sibu. FOTO Harun Yahya