ZUL Ariffin. FOTO Zunnur Al-Shafiq
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


Gara-gara tampil separuh bogel dalam filem terbarunya, Tombiruo: Penunggu Rimba, ada segelintir pihak mendakwa pelakon kacak Zul Ariffin dieksploitasi untuk melariskan filem itu.

Namun, pelakon itu menafikan dakwaan dia sekadar ‘menjual’ badan sasa dalam filem itu. Menurut Zul, dia tampil tidak berbaju untuk memenuhi tuntutan watak Ejim atau Tombiruo seperti dikehendaki skripnya.

“Sebenarnya watak Ejim cabaran besar buat saya kerana ia bukan sekadar menayang atau ‘menjual’ tubuh semata-mata. Sebaliknya saya perlu menzahirkan bahasa tubuh untuk menghidupkan watak Ejim kerana saya juga bertopeng dan tidak banyak dialog.

“Saya bercakap apabila perlu saja, itu pun dalam bahasa Kadazan Dusun,” katanya.

Terus bercerita pembabitannya dalam filem itu, jelas Zul, dia juga mengalami kecederaan ketika penggambaran filem itu yang dilakukan pada Ogos tahun lalu.

“Watak Ejim membabitkan banyak babak pertarungan tetapi mungkin kerana terlalu teruja, saya mengalami kecederaan di ligamen ketika melakonkan aksi ngeri. Saya terpaksa berehat dua minggu di hospital dan beberapa babak lasak terpaksa menggunakan pelakon gantian,” katanya.

Bagaimanapun kata Zul, selepas selesai penggambaran filem itu dia terpaksa berehat selama lapan bulan dan melakukan fisioterapi untuk memastikan kecederaan itu benar-benar pulih.

“Apapun, saya juga menganggap kejadian itu sebagai pengajaran dan selepas ini saya akan lebih berhati-hati serta membuat persediaan awal sebelum melakukan sebarang aksi berbahaya dalam filem,” katanya.

Menurut Zul, sebagai pelakon, dia suka mencabar dirinya untuk melakukan sendiri aksi lagak ngeri dalam filem itu.

“Namun, selepas mengalami kecederaan dan atas nasihat doktor, saya terpaksa menggunakan bantuan pelakon lagak ngeri untuk babak lasak,” katanya.

Zul ditemui pada majlis pelancaran filem Tombiruo: Penunggu Rimba yang berlangsung di Publika, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tombiruo: Penunggu Rimba diadaptasi daripada novel thriller karya Ramli Awang Murshid dan arahan Seth Larney turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Farid Kamil, Nabila Huda, Datuk M Nasir, Faizal Hussien, Hasnul Rahmat, Dynaz Mokhtar dan Faye Kusairi.

Filem Tombiruo: Penunggu Rimba akan mula menjengah pawagam tempatan bermula 12 Oktober nanti.

Kembali selepas setahun menyepi

Dalam tempoh setahun menyepi, Zul mengakui hidupnya lebih tenang dan ada privasi.

Menurutnya, dia juga ingin lebih fokus dalam mengukuhkan karier seni yang diceburinya.

“Kini saya sibuk mempromosikan filem itu dan berlakon drama bersiri berjudul Titian Cinta bersama pelakon Farah Nabila yang akan disiarkan di TV3 tidak lama lagi,” katanya.

Antara drama lakonannya sebelum ini, Menanti Februari bergandingan dengan pelakon Fathia Latiff. Dia juga tampil dalam filem Permata Hati arahan dan terbitan Datuk Seri Shah Rezza yang sudahpun bersiaran di saluran Astro First.

Filem itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Elaine Daly, Elfira Loy, Edika Yusuf, Zoey Rahman, Danny X Factor, Datuk Ziela Jalil dan Liza Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2017 @ 4:47 AM