BAGI Farid tak perlu tunjuk hubungan mesra di media sosial.
HM Digital

Pelbagai spekulasi diperkatakan mengenai status rumah tangga pasangan pelakon popular Farid Kamil dan Diana Danielle, sebelum ini.

Semuanya kerana pasangan selebriti ini didakwa meraikan sambutan Aidilfitri tahun ini secara berasingan.

Bagi Farid, dia tidak melihat perkara itu sebagai satu isu besar kerana dia memang jarang menjaja kisah cintanya sebelum mereka berkahwin.

“Saya tidak terkesan dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan dilemparkan kepada kami gara-gara tidak memuat naik gambar bersama di laman sosial.

“Saya juga tidak melihat keperluan untuk menayangkan kebahagiaan bersama isteri di Instagram semata-mata untuk memuaskan hati orang lain,” katanya.

Farid berkata, Instagram juga bukan penanda aras kebahagiaan dalam sesebuah rumah tangga yang dibina itu.

“Jika saya hendak muat naik sesuatu gambar di Instagram, saya akan lakukan sendiri dan bukannya untuk membuktikan kepada orang lain.

“Bagi saya, apa yang orang hendak kata atau komen mengenai saya dan isteri di laman sosial, itu hak mereka,” katanya.

Mengulas mengenai rumah tangga pula, Farid berkata, perkahwinannya dengan Diana bahagia bersama dua cahaya mata, Muhammad, 4, dan Nur Aurora, 2.

“Alhamdulillah, rumah tangga kami bahagia dan setakat ini tiada masalah yang kritikal lagi,” katanya.

Buat kajian mendalam

Watak Amiruddin dalam filem Tombiruo: Penunggu Rimba yang diadaptasi daripada novel thriller karya Ramli Awang Murshid memberi cabaran tersendiri buat Farid.

Menurut Farid, bukan mudah untuknya merealisasikan watak Amiruddin yang sudah ada dalam pemikiran pengikut setia novel itu lebih 20 tahun lalu.

“Saya buat kajian mendalam mengenai watak itu menerusi gambaran yang diberikan pembaca novel itu sendiri. Watak Amiruddin dan Ejim (lakonan Zul Ariffin) seimbang kerana mereka adik-beradik tetapi dibesarkan dalam dunia berbeza.

“Watak saya dinamik dan cabaran paling besar untuk membawakan watak itu dengan durasi pendek dan babak terpilih saja,” katanya.

Bercerita mengenai penggambaran, kata Farid, dia menimba pengalaman setaraf produksi Hollywood ketika penggambaran filem berkenaan.

“Pembikinan filem ini dibuat serius dan persiapan juga lebih enam bulan. Sistem kod yang digunakan di lokasi juga menarik sama seperti pembikinan filem Hollywood.

“Selain kelas lakonan, pelakon juga perlu pastikan mereka boleh merealisasikan babak seperti dikehendaki skrip kerana ada 80 hingga 90 kru produksi sudah bersedia di lokasi dan mereka akan nampak jika pelakon gagal menjiwai sesuatu babak itu,” katanya.

Menurut Farid, dia juga berkampung di hutan selama dua bulan setengah untuk menjayakan filem yang bakal ditayangkan bermula 12 Oktober depan.

“Banyak pengorbanan yang kami lakukan untuk merealisasikan filem itu. Bayangkan saya tidak dapat berjumpa orang termasuk dua anak selama dua bulan sepanjang penggambaran filem itu,” katanya.

Selain Farid dan Zul, filem arahan Nasir Jani itu menampilkan barisan pelakon seperti Nabila Huda, Faizal Hussein, Farah Ahmad, Artu, Hasnul Rahmat, Michael Chen, Datuk M Nasir, Datin Marlia Musa dan Muhammad Al-Rayyan.

Dalam perkembangan lain, Farid akan ke lokasi penggambaran drama Lafazkan Kalimah Cinta yang juga adaptasi novel bergandingan dengan Nelydia dan Uqasha Senrose.

“Saya juga terpaksa mewarnakan rambut perang untuk menjiwai watak jejaka kacukan Mat Salih dalam cerita itu,” katanya. - Ramlah Zainal

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2017 @ 8:18 AM