SI CANTIK yang bakal memegang watak Langsuir arahan Osman Ali. FOTO Aizuddin Saad
Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my


Tidak dapat dibayangkan bagaimana wajah secomel dan semanis ini akan berubah menjadi makhluk seram, langsuir.

Inilah watak yang bakal dibawa Hannah Delisha dalam filem terbaru arahan Osman Ali berjudul Langsuir.

Sangsi dalam teruja, namun minda gadis Singapura ini positif menerima tawaran itu dan melihatnya sebagai satu cabaran baru buat dirinya. Ia juga peningkatan untuk kerjaya lakonannya yang baru saja bermula di negara ini.

Hannah atau nama sebenarnya Hannah Adlina Blackburne Birch yang bakal meraikan ulang tahun ke-21 pada 27 Oktober depan tidak menyangka peluang membintangi filem berlaku dengan begitu cepat.

Terdahulu, dia popular dengan drama bersiri Mencintaimu Mr Photographer bersama Syafiq Kyle.

“Ia drama pertama saya bersama produksi Malaysia dan dalam masa singkat, saya diberikan pula kepercayaan membintangi filem.

“Saya amat bersyukur dan lebih membuatkan terharu filem itu bakal diarahkan pengarah disegani ramai, Osman Ali.

“Melihat profil barisan nama bintang popular yang pernah bekerjasama dengan Abang Osman, saya berasa amat kecil namun enggan mempersiakan peluang ini dan ingin memberi persembahan terbaik,” katanya

Bercerita mengenai filem sulungnya itu, Hannah berkata, dia akan membawakan watak Suri yang hadir dalam jelmaan manusia dan hantu.

Ditanya kepada pemilik raut wajah lembut serta keanak-anakan ini, adakah dia mampu memikul watak itu, Hannah mengakui, entiti dan ‘supernatural’ adalah antara watak diidamkannya.

“Apa yang saya dengar daripada pengurus saya Kak Dura, Abang Osman ambil saya untuk bawa watak Suri kerana ia digambarkan sebagai seorang gadis yang cantik. Dia juga sangat muda, memiliki paras menawan dan pada masa sama baik. Ini kerana Suri sebenarnya langsuir yang baik.

“Dia nampak seperti manusia dalam kebanyakan babak dan ada sedikit untuk babak dengan solekan khas sebagai langsuir.

“Jika sesiapa pernah menonton filem Thailand, Nang Nak, hantu dalam jelmaan manusia, begitulah juga watak saya” katanya.

Takut populariti makan diri

Berbaki kurang seminggu untuk memasuki set penggambaran Langsuir, selain berlakon gadis kacukan Inggeris dan Melayu ini juga aktif sebagai penyanyi.

Bakal tampil dengan single keempat berjudul Esok Masih Ada ciptaan Akil Hyper Act dan lirik oleh Frozen, Hannah mahu perkembangan lakonannya dan muzik berjalan seiring.

“Buat masa sekarang, saya bukan saja berlakon tetapi menyanyi. Esok Masih Ada sudah siap dirakam dan klip video juga sudah disiapkan.

“Buat masa sekarang kedua-duanya berjalan seiring kerana saya minat. Saya juga akan melihat bidang mana yang akan memberi lebih keuntungan kepada kerjaya seni saya,” katanya.

Mencintaimu Mr Photographer turut memberikan populariti mendadak buat Hannah. Pada minggu pertama drama itu ditayangkan, jumlah pengikut Hannah di Instagram kira-kira 50,000 orang. Kini ia meningkat kepada 635,000 orang.

Sejak itu satu demi satu tawaran daripada jenama kecantikan termasuk automobil mengintai peluang untuk melamarnya sebagai duta.

Bagaimanapun, Hannah enggan populariti memakan dirinya.

“Syukur setakat ini peminat dan pengikut memberi sokongan yang sangat positif. Kalau ada pun kritikan daripada netizen, saya tidak mengambil pusing sangat apa yang diperkatakan.

“Bagaimanapun, saya tak ingin berbangga dan tidak mahu populariti memakan diri dan menenggelamkan bakat.

“Namun, apabila terbabit dalam bidang lakonan atau seni secara umumnya, jumlah peminat dan pengikut itu adalah sesuatu yang perlukan sebagai tarikan untuk menaikkan rating drama selain melariskan jenama produk yang diwakili,” katanya.

Bagaimanapun, Hannah kecewa apabila statusnya sebagai warga Singapura yang mencari makan di negara ini dipertikai.

Ia agak mengguris hatinya apabila ada yang bertanya kenapa tidak mencari rezeki di negara sendiri.

“Rezeki Allah SWT itu luas dan di Malaysia, saya dapat mencari rezeki untuk membantu keluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2017 @ 4:33 AM