WANY Hasrita. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


Penyanyi lagu popular Menahan Rindu, Wany Hasrita mengakui belum cukup sempurna untuk dijadikan ikon oleh peminatnya.

Kata wanita berusia 25 tahun ini, dia juga sentiasa memperbaiki diri apabila baru-baru ini menerima teguran daripada umum berhubung perlakuannya apabila dikatakan tidak sesuai dengan imej bertudung.

Melihat trend anak seni yang semakin ramai berhijab, Wany berkata, bukan mudah untuk wanita sepertinya menceburi dunia seni kerana pergerakan terbatas.

“Saya perlu menjaga kelakuan dari hujung rambut sampai hujung kaki. Membawa imej bertudung bukan mudah kerana sebagai orang yang dikenali, setiap apa yang kita lakukan dijadikan contoh dan diperhatikan.

“Sebelum ini saya pernah ditegur peminat ketika menyanyikan lagu parodi Despacito bersama rakan di bawah pengurusan sama. Kata mereka, ia kurang bersesuaian dengan imej wanita bertudung. Namun ada juga yang menyukainya.

“Oleh itu, saya cuba muhasabah diri kerana ada ketikanya diri ini alpa. Saya ‘gila-gila’ orangnya, jadi kena kawal perlakuan kerana apa yang ditonjolkan kepada umum mencerminkan personaliti diri,” katanya.

Meraih populariti mendadak bukan situasi mudah buat graduan Sains Perubatan Management & Science University (MSU) ini malah sehingga kini dia masih cuba menyesuaikan diri.

“Sebagai penyanyi, saya sentiasa berusaha mengekalkan populariti yang ada. Kalau boleh, saya tidak mahu dikenali dengan sebuah karya saja dan kemudian sepi tanpa berita.

“Hakikatnya bukan mudah untuk mengekalkan momentum ini kerana peminat meletakkan jangkaan tinggi. Saya perlu tampil dengan karya yang lebih baik atau setaraf dengan Menahan Rindu jika mahu kekal konsisten,” katanya.

Menurut Wany, dia kini dalam proses mendidik diri untuk menjadi insan lebih baik.

“Saya sentiasa terbuka menerima kritikan peminat. Setiap teguran saya ambil sebagai proses pembelajaran.

“Saya sedar diri ini bukan penyanyi yang hebat dan sedang belajar teknik menyampaikan nyanyian yang dapat menyentuh hati pendengar. Kalau boleh saya mahu nyanyian saya menjadi terapi kepada peminat,” katanya.

Selepas single Menahan Rindu, Wany melancarkan single solo kedua berjudul Rintihan Rindu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2017 @ 4:36 AM