Fardy Bungga
am@hmetro.com.my


IMPIAN pesakit kanser tahap akhir Muhamad Faisul Iman Isma Yakub, 14,menjadi anggota bomba akhirnya tercapai apabila diberi kesempatan menaiki jentera bomba selain berpeluang merasai sendiri pengalaman memegang hos pemadam api di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, Likas, di sini, hari ini.

Remaja yang menghidap kanser darah sejak berusia enam tahun terbabit dikatakan sering menyuarakan impiannya itu kepada ahli keluarga dan pihak hospital sepanjang mendapat rawatan.

Muhamad Faisul difahamkan tertarik dengan tugas anggota bomba yang bukan saja sekadar memadamkan api kebakaran tetapi juga membantu orang ramai dalam apa jua situasi kecemasan termasuk menyelamatkan haiwan yang terperangkap.

Hasrat murninya itu tercapai dengan bantuan Persatuan Impian Kanak-Kanak Malaysia yang mengambil inisiatif menganjurkan kerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk satu sesi khas yang diadakan hari ini.

Muhamad Faisul yang teruja dengan pengalaman itu menyatakan ini adalah hari paling gembira buatnya kerana sangat meminati kerjaya anggota bomba selain sudah lama mengimpikan menaiki jentera bomba dan memadam api.

Katanya, walaupun sedar dia mungkin tidak dapat mencapai cita-cita menjadi anggota bomba sebenar namun bersyukur kerana masih berpeluang merasai sendiri pengalaman sehari bersama anggota bomba.

"Terima kasih abang bomba, saya sangat gembira semua orang datang hari ini. Ini adalah hari paling gembira buat saya,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2017 @ 11:26 AM