ANGGOTA bomba bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa. FOTO ihsan bomba
Mohd Rizal Abdullah

Mohd.rizal@hmetro.com.

TIGA lelaki maut dan seorang parah dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4X4) Toyota Hilux dan sebuah lori kargo di Jalan Bintulu-Tatau berhampiran Jambatan Sebemban, Bintulu, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7.40 pagi itu, penumpang warga China, Zhao Shuguang, 55, dan Hao Ping, 44, dan pemandu warga tempatan, Kong Tze Hua, 57, maut dilokasi kejadian, manakala seorang lagi penumpang warga China,Tang Dingping, 43, parah.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Deputi Superintendan Bing Kok John berkata, semua mangsa menaiki kenderaan Toyota Hilux sebelum sebelum merempuh lori berkenaan dari arah bertentangan.

Menurutnya, siasatan mendapati lori yang dipandu lelaki berusia 44 tahun itu dari arah Tatau ke Bintulu terlanggar sebuah lori dihadapannya sebelum terbabas dan terbalik di laluan bertentangan.

"Kejadian itu mengakibatkan Toyota Hilux yang dilaluan bertentangan merempuh lori berkenaan," katanya.

Katanya, semua mangsa dikeluarkan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu sebelum dibawa ke Hospital Bintulu.

"Kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2017 @ 12:56 PM