SYEIKH Muhamad Baderudin (depan) bersama pelajar tahfiz membaca dan mengaminkan doa di Makam Diraja Langgar, semalam. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my

Alor Setar: Rakyat negeri ini mengambil kesempatan menziarahi makam Almarhum Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mua’adzam Shah sambil membaca Yasin di Makam Diraja Langgar, di sini, semalam.

Turut berangkat, puteri sulung Almarhum Tunku Soraya yang meluangkan masa sejam dengan bacaan Yasin sebelum menyiram air mawar di atas makam.

Hadir sama, bekas Mufti Kedah Datuk Paduka Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad.

Sementara itu, Marzita Md Isa, 48, dari Jitra berkata, dia mengambil peluang menziarahi makam baginda kerana terlepas peluang memberi penghormatan terakhir di Istana Anak Bukit, kelmarin.

“Semalam (kelmarin) saya demam dan tidak mampu berjalan, tetapi hari ini (semalam) saya rasa lebih baik sebelum ajak bapa Md Isa Shaari, 74, untuk menemani ke makam Almarhum.

“Saya membesar di bawah pentadbiran Almarhum yang dikenali sebagai sultan yang mudah didekati walaupun saya hanya berpeluang melihat baginda dari jauh.

“Perwatakan baginda menyatukan hati rakyat Kedah serta negara apabila baginda satu-satunya raja yang ditabalkan dua kali sebagai Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Suri rumah Azlin Abu Bakar, 40, dari Lorong Seri, di sini, berkata, dia memilih menziarahi makam baginda bagi mengelak bersesak dengan orang ramai, semalam.

“Saya hadir bersama suami Azaidi Ahmad, 43, dan menyedekahkan al-Fatihah sebagai tanda kasih kepada Almarhum.

“Senyuman baginda masih terbayang-bayang ketika Almarhum melambai tangan kepada rakyat sewaktu keberangkatan pulang ke negeri ini selepas menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-14. Perwatakan baginda membuatkan rakyat rasa dekat dengan Almarhum,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 6:18 AM