ANAK lipas berkeliaran di dapur restoran terbabit. FOTO Nuryahirah Marzuki
Nursyahirah Marzuki

Putrajaya: Di bahagian hadapan, semuanya nampak bersih dan kemas, malah sajian yang dihidangkan nampak lazat tetapi di bahagian dapur dan stor simpanan barang makanan menjijikkan.

Di satu sudut, beberapa ekor anak lipas berkeliaran di kawasan dapur dan lebih teruk lagi apabila najis tikus turut dikesan di stor bahan masakan.

Tepung untuk menggoreng ayam bertaburan di lantai akibat digigit tikus.

Itu keadaan premis makanan yang diserbu penguat kuasa Perbadanan Putrajaya (PPj) di sekitar Presint 9 dan Presint 11, di sini, sehingga memaksa pihak berkuasa mengeluarkan notis perintah tutup.

Presiden PPj Datuk Seri Hasim Ismail berkata, operasi itu dilaksanakan bagi memastikan premis makanan di Putrajaya sentiasa pada tahap kebersihan tinggi selain memastikan tiada pelanggaran syarat.

“Melalui operasi dua jam ini, sebanyak tujuh premis makanan diperiksa di bawah Undang-Undang Kecil Petempatan Makanan (Wilayah Persekutuan Putrajaya) 2012 dan Akta Makanan 1983.

“PPj tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama dalam soal kebersihan makanan, bermula daripada penyediaan makanan di dapur sehingga kebersihan pekerjanya,” katanya ketika ditemui selepas Operasi Bersepadu Pemeriksaan Premis Makanan, di sini, semalam.

Hadir sama Naib Presiden Perkhidmatan Bandarnya Datuk Azizi Ahmad Termizi dan Pengarah Bahagian Kesihatan Persekitaran, Jabatan Perkhidmatan Bandar Dr Azali Sulaiman.

Dalam pada itu, Hasim berkata, 345 premis makanan di Putrajaya mempunyai lesen sah dan sehingga Ogos lalu, pihaknya mengeluarkan 55 kompaun, 25 notis amaran dan satu penutupan premis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2017 @ 5:18 AM