PETIKAN gambar dari video yang tular di media sosial.
Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my


PELAKON Fathia Latiff menegaskan, dia tidak perlu memberikan sebarang komen membabitkan video yang didakwa dirinya bersama pelakon baru, Natasha Elyzza sedang menari dalam persalinan tidur sehingga menampakkan sebahagian buah dada.

Gara-gara video yang dirakam Natasha Elyzza menggunakan aplikasi bigo live itu tular, pelakon utama drama Ariana Rose itu turut menerima kecaman netizen.

Fathia yang dihubungi di sini sebentar tadi menegaskan, Natasha Elyzza sudah memberikan kenyataan dan menafikan wanita bersamanya adalah dirinya.

“Saya rasa penjelasan diberikan pelakon itu sudah cukup untuk menjelaskan kedudukan sebenar video yang dia rakam dan memuat naik ke laman sosial sehingga menjadi tular,” katanya.

Fathia kesal apabila banyak pihak mengecam dan mencemuh dirinya sehingga memberi kesan kepada reputasinya sebagai pelakon dan duta produk.

“Paling penting dan apa yang membimbangkan apabila video itu dikaitkan dengan diri saya adalah, nama kedua ibu bapa saya juga terpalit dan mereka turut menerima kesannya.

“Sebaik mungkin saya tidak mahu perkara itu berlaku, jadi saya mengharapkan semua pihak tidak lagi mengaitkan video itu dengan diri saya,” katanya.

Fathia juga menegaskan tiada keperluan untuknyamencari dan melihat video yang sedang tular itu kerana tiada kepentingan dan tidak ada kena mengena dengan dirinya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2017 @ 4:43 PM