Pegawai penyiasat dari Bukit Aman memasuki bangunan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, di Kampung Keramat. FOTO Eizairi Shamsuddin
Kalidevi Mogan Kumarappa
Kalidevi@hmetro.com.my


PASUKAN siasatan sedang mengesan pembeli petrol yang mencurigakan dalam usaha untuk mengenal pasti punca kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Taman Datuk Keramat Hujung yang dikaitkan dengan unsur khianat.

Sumber berkata, pasukan penyiasat kini dalam usaha melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kira - kira lima buah stesen minyak yang berada dalam radius satu kilometer dari lokasi bagi tujuan mengesan individu yang disyaki terbabit mencetuskan kebakaran.

Menurutnya, melalui rakaman CCTV itu, mereka mampu mengesan sekiranya ada individu yang mencurigai membeli petrol dalam tong atau keadaan mencurigakan sebelum hari kejadian.

Sumber berkata, pasukan siasatan juga sedang meneliti rakaman CCTV dari premis kediaman sekitar kawasan pusat tahfiz berkenaan bagi membantu siasatan.

Selain rakaman CCTV di bangunan milik PPIM, katanya, mereka juga akan turut melihat sekiranya ada rakaman di kediaman berhampiran dalam radius 500 meter dari tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2017 @ 6:31 PM