BIBI Ramjani diumumkan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bagi penggal 2018 hingga 2021. FOTO Fathil Asri
Mohamad Zulhairie Manzaidi
sukan@hmetro.com.my


USAHAWAN wanita yang juga pengasas Desa Murni Batik Sdn Bhd, Bibi Ramjani Ilias Khan dipilih menyandang jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) bagi penggal 2018 hingga 2021.

Bibi Ramjani yang menerima 32 undi menewaskan seorang lagi calon Presiden yang juga Naib Presiden KAFA musim ini, Datuk Mohamad Nasir Hamzah (16) dalam Kongres Tahunan KAFA ke-63 di Kota Bharu, hari ini.

Proses pengundian terpaksa dilakukan dua kali selepas jumlah undi diperolehi Bibi Ramjani pada kali pertama sebanyak 32 undi iaitu tidak memenuhi kehendak perlembagaan persatuan yang memerlukan undian majoriti 35 untuk jawatan Presiden.

Bagaimanapun, keputusan pengundian kali kedua membabitkan 52 wakil Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) muktamad memilih Bibi Ramjani sebagai Presiden KAFA.

Jawatan Timbalan Presiden kekal milik Datuk Seri Afandi Hamzah (29) selepas menewaskan Datuk Rosmadi Ismail (21).

Bagi jawatan Naib Presiden disandang Datuk Aizuddin Mohd Ghazali, (39) Nik Pakheruddin Nik Abdul Kadir (27) dan Datuk Nik Izani Nik Ibrahim (21).

Ketetapan itu dibuat selepas dua calon jawatan Azman Ibrahim yang memperoleh 35 undi dan Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz (27) memilih untuk menarik diri.

Sementara itu 10 muka baru dipilih untuk menjawat jawatan Exco Eksekutif iaitu Datuk Mohd Rowi Dollah (51 undi),Wan Rakemi Wan Zahari (42 undi), Nubli Ab Latiff (40 undi) , Datuk Shaari Mat Husin (37), Zulkifli Omar (37) Akmal Ahmad Tabarani (33) Mohammad Ausri Husin (29), Azrul Mohd Zawawi (28) dan Mohamed Fareez Nor Amran (26), Datuk Azman Ismail (24) selepas Marzuki Jusoh yang memperolehi jumlah undi yang sama menarik diri.

Kongres yang berlangsung bermula pada 3 petang tadi tamat sepenuhnya pada 9.16 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2017 @ 10:02 PM