DARI kiri, juruterbang TUDM dari No 3 Skuadron Butterworth Mejar Nuradlina Ab Manah, Kuartermaster Udara Operasi, Sarjan Udara Ahmad Syazwan Saidun dan Pemeriksa Helikopter, Mejar Abang Raduan Abang Madihi. FOTO Muhammad Sulaiman
Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Siraj Mohd Zaini


Subang: Di sebalik pelbagai tragedi serta persepsi negatif berhubung keupayaan helikopter Sikorsky S-61A-4 atau Nuri namun ia masih dianggap relevan selepas melalui penaiktarafan.

Pelbagai gelaran diberikan termasuklah skuadron ‘kamikaze’, ‘keranda terbang’ dan ‘dinosaur’ namun ‘kuda udara’ itu tetap disanjung kerana ribuan nyawa sudah diselamatkan, ratusan misi keselamatan serta misi bantuan dilaksanakan dengan jayanya sejak berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 1967.

Bagi Pegawai Pemerintah No 3 Skuadron Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Leftenan Kolonel Zulkifly Abdullah, helikopter itu yang kini memasuki era jubli emas itu dinaik taraf menerusi Program Menaiktaraf Nuri (NUP) dan setanding dengan pesawat baru dalam industri penerbangan.


HELIKOPTER Nuri diberi nafas baru selepas dinaik taraf melalui NUP. FOTO Muhammad Sulaiman

“Nuri dilengkapkan dengan pelbagai kelengkapan mengikut keperluan dan peredaran masa. Pemasangan sistem avionik juga membolehkannya memenuhi tugas pertahanan udara bagi jangka masa 15 hingga 20 tahun lagi.

“Selain itu, ia membantu juruterbang Nuri mengatasi masalah keusangan sistem yang selama ini mengguna pakai sistem analog untuk beroperasi.

Penggunaan teknologi terkini termasuk Night Vision Goggles Operation (NVG) membantu penerbangan pada waktu malam,” katanya.

Beliau yang sudah 26 tahun berkhidmat dengan TUDM berkata, pelbagai tragedi membabitkan Nuri sebelum ini juga boleh berlaku kepada pesawat moden masa kini disebabkan pelbagai faktor.

“Kegagalan sistem berfungsi, perubahan cuaca dan faktor luar jangka antara punca tragedi membabitkan pesawat dan ia juga berlaku kepada helikopter moden, cuma ia tidak diperbesarkan atas alasan usia.

“Apa yang lebih menarik, Nuri tidak pernah mengalami kerosakan kipas sejak ia mula digunakan, berbanding helikopter moden serta canggih yang berpotensi mengalami masalah itu” katanya ketika ditemui pada sambutan Jubli Emas pesawat Nuri Sikorsky S61A-4 TUDM, semalam.


JURUTERBANG TUDM dari No 3 Skuadron Butterworth, Mejar Nuradlina Ab Manah mengendalikan Nuri. FOTO Muhammad Sulaiman

Sementara itu, bagi Mejar TUDM Mohd Faizal Abdul Latif, tanggapan pihak tertentu mengatakan juruterbang Nuri seperti menggadai nyawa tidak tepat kerana sejarah turut membuktikan pelbagai pesawat moden turut berisiko terhempas.

“Selama 13 tahun bersama Nuri dengan jumlah penerbangan 2,500 jam, saya tahu kemampuan Nuri.

“Nuri pesawat tahan lasak dan buktinya mampu melaksanakan misi menyelamat dan menghantar bantuan kepada mangsa banjir di Kelantan pada 2014,” katanya.

Bagi Mejar (B) TUDM Abang Raduan Abang Madihi pula, Nuri memberikannya pelbagai kenangan yang sukar dilupakan sepanjang menerbangkan pesawat itu.

“Saya berbangga menjadi kru Nuri. Saya dapat berjumpa pelbagai lapisan masyarakat daripada Orang Asli sehingga pemimpin tertinggi negara.

“Antara peristiwa tidak dapat dilupakan sumbangan Nuri ketika menyelamatkan nyawa seorang wanita hamil di Pulau Redang dan dibawa ke Kuala Terengganu, selain membantu misi kemanusiaan di Acheh serta banjir besar di Pantai Timur beberapa tahun lalu,” katanya.


KUARTERMASTER Udara Operasi Sarjan Udara Ahmad Syazwan Saidun melakukan peninjauan. FOTO Muhammad Sulaiman

Bagi bekas Pegawai Pemerintah Pertama 10 Skuadron Mejar (B) Benjamin Lee, 78, berkata, helikopter Nuri banyak berjasa kepada negara terutama sebagai pengangkutan taktikal terutama ketika zaman komunis.

“Saya juruterbang pertama helikopter itu dan saya masih ingat lagi ketika itu hanya empat juruterbang dihantar ke United Kingdom untuk menjalani kursus pengendalian helikopter.

“Hari ini mereka (Nuri) berusia 50 tahun dan masih digunakan,”katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan 50 tahun Pesawat Nuri di Wisma Perwira, di sini, malam kelmarin.

Benjamin berkata, pada tahun 1968 hanya 10 helikopter memasuki inventori TUDM dan 15 juruterbang dilatihnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2017 @ 5:38 AM