GAMBAR hiasan
Khairul Najib Asarulah Khan
am@hmetro.com.my


LELAKI maut manakala rakannya parah ditanduk kerbau liar ketika mencari lembu yang tidak pulang ke kandang di Kampung Mungkal Seberang, Kuala Pilah, kelmarin.

Mohd Shafat Aminurdin, 22, maut di tempat kejadian akibat ditusuk pada perut manakala Mohd Azren Shah Yazif, 27, patah tangan kanan dan cedera kaki kiri akibat diserang haiwan itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok berkata, dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, mereka sedang mencari 28 lembu ternakan yang tidak pulang ke kandang.

"Abang kepada Mohd Azren Shah menerima panggilan daripada adiknya meminta pertolongan kerana diserang kerbau liar.

"Keluarga mangsa segera mencari mereka sebelum menemui kedua-duanya pada 3 pagi di kawasan gelap di pinggir kampung berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Mohd Shafat disahkan meninggal dunia di lokasi manakala Mohd Azren Shah yang cedera dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah untuk rawatan.


NORHAYATI (dua kanan) melawat mangsa cedera ditanduk kerbau di HTAN. FOTO Khairul Najib Asarulah Khan

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah, Datuk Norhayati Omar melawat Mohd Azren Shah di HTAN, hari ini.

Menurutnya, ia adalah kes terpencil dan dimaklumkan kerbau terbabit tidak bertuan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2017 @ 3:26 PM