HAFIZ Suip. FOTO Khairul Azhar Ahmad


Selepas mendirikan rumah tangga, penyanyi lagu popular Awan Nano, Hafiz Suip, 27, mengakui semakin matang dalam merencana kehidupannya.

Barangkali tanggungjawab sebagai bapa yang bakal dipikul membuatkan dia semakin berfikiran terbuka dan tidak boleh duduk diam untuk mencari idea baru bagi memastikan sentiasa aktif dalam gelanggang seni hiburan.

Walaupun namaya seakan-akan sepi, Hafiz tidak pernah berputus asa sebaliknya sentiasa berusaha memperbaiki diri dan mencari penyelesaian serta material baru untuk memastikan kekal relevan.

Terbaharu, juara program realiti Akademi Fantasia musim ketujuh itu tampil dengan single berjudul Kejar berentak pop.

“Saya kini lebih peka dengan persekitaran dan mengenal pasti permintaan pendengar.

“Saya akui permintaan muzik kini sudah berubah. Dengan lambakan penyanyi muda berbakat besar, industri muzik semakin maju dengan lagu yang lebih segar, membuatkan saya tidak boleh duduk diam saja.

“Jika dulu tidak banyak urusan muzik saya fikirkan kerana semuanya diserahkan kepada syarikat pengurusan, tetapi sekarang perlu mengambil tahu setiap perkara supaya tidak terlepas apa yang diperlukan pendengar ,” katanya.

Lebih lapan tahun menceburkan diri dalam bidang seni, Hafiz berkata, pernikahan dengan Nureffy Jasreel Abdullah pada Mei tahun lalu turut membuka matanya supaya lebih peka terhadap apa yang berlaku di persekitaran.

Hafiz bertekad mempertingkatkan ilmu pengetahuan terutama mengenai isu semasa sekali gus memperlihatkan kematangan dan kewibawaannya sebagai insan seni.

“Dulu saya terlalu memikirkan perancangan diri dan kerjaya hingga tidak pernah ambil peduli isu semasa.

“Bagaimanapun, sejak berkahwin saya banyak membaca dan mengutip ilmu yang diperoleh sebagai bekalan untuk menjadi insan lebih baik lagi bermutu.

“Bukan apa, kehadiran bakat baru sedikit sebanyak memberi tekanan untuk saya kerana mereka sering tampil dengan muzik baru setiap masa.

“Dari situ saya tidak boleh berasa selesa dengan kedudukan sekarang. Saya juga perlu sentiasa bersaing secara sihat bagi memastikan lagu dan nama turut tercalon dalam carta teratas radio tempatan sekali gus menerima permintaan tinggi pendengar,” katanya.

Menurut Hafiz, walaupun namanya sedikit perlahan, dia percaya pada kuasa rezeki Allah SWT.

“Saya tak pernah bimbang mengenai nama atau populariti. Apa yang lebih penting bagaimana memastikan nama kekal relevan dan menjadi kegemaran pendengar,” katanya.

Sementara itu, Hafiz bakal menimang cahaya mata lelaki awal tahun depan.

Hafiz berkata, dia mengetahui jantina anak sulungnya itu selepas pemeriksaan dua minggu lalu.

“Alhamdulillah, usia kandungan kini lima bulan. Pada mulanya saya tidak mahu tahu jantina anak. Bagaimanapun, ketika pemeriksaan saya dan isteri ternampak jantina anak kami,” katanya.

Hafiz turut berkongsi, dia memilih nama Mohamad Riyadh untuk bayi yang bakal dilahirkan nanti.

“Saya pilih nama ini kerana ia bermaksud taman bunga yang makmur. Saya juga bercadang membuka akaun Instagram peribadi untuknya nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2017 @ 3:29 AM