JAMES Wong. FOTO Luqman Hakim Zubir
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perenang negara James Wong meninggalkan tanah air untuk berkelana di Australia demi mengejar impian menjadi perenang terbaik negara.

Mula mewakili negara pada usia 14 tahun dia langsung tidak menganggap kudung tangan kiri sebagai kelemahan.

James membuktikan keputusannya itu tepat apabila mencatat 1 minit 12.94 saat acara 100m kuak kupu-kupu S8 (catat anggota) untuk meleburkan rekod 12 tahun milik David Wangyu Kulek (1:30.24s).

Perenang berdarah Malaysia-United Kingdom itu menewaskan dua perenang beraksi di Paralimpik Rio - Ernie Agat Gawilan dari Filipina yang meraih perak (1:19.85s) dan manakala perenang Vietnam Nguyen Quang Vuong, gangsa (1:23.63s).

“Bagi saya catatan itu tidak penting kerana fokus utama adalah untuk menghadiahkan emas buat negara.

“Saya harap dapat menang emas lagi dalam acara 200m rampaian Jumaat ini selain cuba untuk layak ke Sukan Komanwel,” katanya.

Dia turut berpeluang cerah beraksi di Komanwel Gold Coast dalam acara 100m kuak dada selepas meraih gangsa dengan catatan 1:24s, semalam.

Untuk layak, James perlu menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik dengan masa direkodkan dalam acara 100m kuak dada itu meletakkan dirinya kini di kedudukan keempat terbaik.

Ditanya mengapa memilih Australia sebagai pusat latihan biarpun terpaksa menggunakan perbelanjaan sendiri, James berkata dia mahu mencabar dirinya menjadi perenang terbaik kerana negara itu mempunyai jurulatih, tempat latihan dan persekitaran terbaik di dunia.

James kembali ke tanah air minggu lalu demi merealisasikan impiannya mewakili negara di Para ASEAN dan dijadual kembali ke Australia, 2 Oktober depan.

Anak kepada pasangan Wong Chin Yuan dan Louise Bureau itu sudah menamatkan pengajian di University of Adelaide, Australia tahun lalu dan kini berkhidmat sebagai jurulatih di Kelab Renang Norwood selain berlatih sepenuh masa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 3:41 AM