DOKUMEN palsu yang digunakan sindiket untuk memperdaya kontraktor. FOTO Ihsan pembaca
Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail

Kuala Lumpur: ‘Jual nama’ Kementerian Kerja Raya (KKR) pada kepala surat selain memalsukan tandatangan menteri pada kontrak palsu bagi memperdaya orang ramai serta mendapatkan wang mudah.

Dalam penipuan terbaru dikesan kementerian berkenaan, satu dokumen berkaitan kontrak palsu bernilai bilion ringgit di luar negara ditawarkan sindiket kepada syarikat dan individu tertentu.

Bagaimanapun sindiket terbabit mendakwa kononnya kontrak terbabit bermasalah berikutan bayaran cukai belum dijelaskan kepada kerajaan.

Bagi mengatasi masalah itu, syarikat yang berminat meneruskan kontrak perlu membayar RM4,193 dalam tempoh tertentu atau tawaran itu dibatalkan.

Unit Komunikasi Korporat KKR berkata, laporan dibuat di Balai Polis Dang Wangi, kelmarin, berhubung penipuan yang menggunakan nama kementerian itu.

Menurutnya, mereka menerima laporan daripada orang awam berkaitan dokumen didakwa dikeluarkan KKR dan ditandatangani Menteri Kerja Raya.

“Selepas disemak, dokumen itu tidak pernah dikeluarkan KKR dan format digunakan bukan format rasmi kementerian. Kami membuat laporan bagi menafikan kementerian mengeluarkan dokumen itu dan memberi amaran kepada orang awam berkaitan dokumen palsu supaya tidak menjadi mangsa penipuan,” katanya semalam.

Dalam kenyataan itu, KKR memandang serius kes penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan nama KKR sebagai subjek dalam aktiviti jenayah penipuan mereka.

Katanya, modus operandi dikesan dengan menghubungi mangsa melalui telefon atau surat palsu sebelum menawarkan kontrak tertentu sama ada kaedah rundingan terus atau tender daripada kementerian.

“Selain itu, ada kes yang menuntut mangsa membayar sejumlah wang untuk menjelaskan cukai rasmi dan duti setem bagi meluluskan kontrak palsu yang ditawarkan.

“Kami turut mengesan individu menyamar pegawai KKR meminta memasukkan sejumlah wang ke akaun peribadi sebagai deposit membantu memproses atau mendapatkan projek, kontrak daripada KKR atau Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya.

Menurutnya, terbaru KKR mengesan penipuan membabitkan nama Menteri Kerja Raya, penggunaan kepala surat rasmi KKR yang palsu dikesan dan digunakan suspek.

“Sijil palsu itu dipercayai disasarkan kepada kontraktor luar dan asing berdasarkan kandungan sijil yang menyatakan mangsa perlu menjelaskan cukai dan duti setem kerajaan.

“KKR menyarankan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada sekiranya menerima tawaran kontrak mencurigakan daripada pihak yang mengaku wakil kementerian. Orang ramai boleh menghubungi Unit Komunikasi Korporat KKR di talian 03-27714613 untuk mendapatkan pengesahan dan laporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 5:15 AM