FOTO Reuters


GOOGLE akan membayar RM4.62 bilion kepada syarikat pengeluar telefon pintar, HTC Corporation (HTC) untuk pasukan pekerja HTC yang terbabit dalam pembangunan model telefon Pixel.

Perjanjian itu sekaligus membolehkan Google menyerap 2,000 pekerja selain memperoleh lesen bukan eksklusif terhadap harta intelektual (IP) HTC.

Bagaimanapun, HTC akan tetap terbait dalam pengeluaran produk telefon pintar.

“Bagi Google, perjanjian ini terus mengukuhkan komitmennya kepada telefon pintar dan pelaburan keseluruhan dalam perniagaan peranti sedang membangkit,” kata Google dalam satu kenyataan.

Google dan HTC mempunyai sejarah kerjasama panjang dalam pembangunan bersama produk Android.

Kali pertama, kerjasama mencipta peranti HTC Dream yang turut menjadi telefon pertama Android pada 2008, selepas beberapa bulan Apple memperkenalkan iPhone.

HTC akan terus membangunkan telefon pintar dan dikhabarkan bakal mengeluarkan model baru tidak lama lagi selepas kejayaan HTC U11 beberapa bulan lalu.

Syarikat sama juga sedang memperkemaskan model realiti maya mereka melalui Vive dan kini memasuki teknologi masa depan membabitkan Internet untuk segalanya (IoT).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 9:30 PM